Sunday, March 18, 2012

Isu Lynas dibawa ke Parlimen

Isu Lynas dibawa ke Parlimen - Nasional - Sinar Harian:PADANG RENGAS - Satu penubuhan Jawatankuasa Pemilihan Khas Mengenai Lynas Advanced Materials Plant (LAMP) akan diusulkan di Parlimen, Isnin ini dan ia dipersetujui menerusi mesyuarat Jemaah Menteri yang diadakan Jumaat lalu.
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abd Aziz berkata, jawatankuasa berkenaan akan diminta merumuskan penemuan dan cadangan dalam tempoh yang akan ditetapkan menerusi usul di Dewan Rakyat.

Menurutnya, cadangan penubuhan jawatankuasa itu berdasarkan terma rujukan tertentu dan dianggotai sembilan ahli.

“Antara termanya ialah untuk menyemak semula hasil penilaian daripada ulasan awam berkaitan Projek Lynas.

“Seterusnya mendapatkan penjelasan pelbagai kumpulan dan pihak berkuasa berkaitan serta cadangkan kepada Parlimen langkah harus diambil berkaitan isu ini.

“Jawatankuasa ini akan dianggotai sembilan ahli termasuk dipengerusikan seorang menteri iaitu Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

“Empat anggota akan diwakili Barisan Nasional, tiga anggota daripada pakatan pembangkang dan seorang ahli bebas,” katanya pada majlis penyerahan kunci rumah PPRT di Paya Panjang di sini, semalam.

Sementara itu, di JOHOR BAHRU, Mohamed Khaled Nordin yang akan mengetuai jawatankuasa khas itu berkata, terlalu awal untuk mengulas berhubung barisan dan peranan jawatankuasa itu kerana ia hanya akan diputuskan di Parlimen, esok.

“Namun, saya akan cuba bantu jawatankuasa hasilkan terbaik, untuk kepentingan negara dan masyarakat,” katanya.

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment