Saturday, March 10, 2012

Rafizi: Penafian Najib OK, tapi mahu bukti


Rafizi Ramli
SHAH ALAM - Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli menyambut baik penafian Pejabat Perdana Menteri berkenaan dakwaan perbelanjaan majlis pertunangan anak perempuan Perdana Menteri tetapi mahu Datuk Seri Najib Razak menjawab dengan bukti-bukti yang sewajarnya.
Rafizi menyenaraikan lapan persoalan dengan meminta Najib mengemukakan bukti untuk meyakinkan penafian.
"Saya menyambut baik kenyataan rasmi yang pantas dikeluarkan oleh Pejabat Perdana Menteri menafikan bahawa perbelanjaan majlis pertunangan anak Datuk Seri Najib pada 17 Jun 2011 lalu dibiayai oleh wang rakyat melalui Pejabat Perdana Menteri, walaupun dokumen dari Hotel Shangri-la, yang mengendalikan majlis secara jelas menunjukkan semua urusan tempahan dan bayaran dibuat melalui Pejabat Perdana Menteri," kata Rafizi.
Sehubungan itu, Rafizi berkata, persoalan beliau memohon maaf tidak timbul kerana kenyataan dua perenggan itu hanyalah satu penafian, tanpa ada sebarang bukti atau fakta yang boleh menafikan kesahihan dokumen atau tuduhan yang dibawa terhadap Perdana Menteri.
Menerusi mesej Twitter, Najib menafikan majlis pertunangan anak perempuannya, Nooryana Najwa pada Jun lalu, diadakan dengan menggunakan duit kerajaan.
"Perbelanjaan pertunangan anak perempuan PM, Nooryana Najwa, tidak ditanggung oleh Pejabat Perdana Menteri sebagaimana didakwa oleh sesetengah pihak," kata mesej Twitter dikeluarkan mengggunakan akaun Pejabat Akhbar Perdana Menteri.
Mesej susulan pula menyebut, "Pejabat Perdana Menteri akan mengeluarkan satu kenyataan berkenaan dakwaan dalam waktu terdekat."
Laporan media atas talian awal semalam Rafizi mendakwa, pihaknya ada bukti kerajaan telah membiayai majlis pertunangan Nooryana Najwa.
Rafizi berkata, untuk membersihkan namanya, beliau mahu Najib menjawab perkara-perkara berikut dengan mengemukakan dokumen rasmi sebagai bukti perbelanjaan pertunangan anak beliau tidak dibayar oleh rakyat, iaitu:

- Najib perlu mengesahkan sama ada perbelanjaan yang tertera seperti dokumen Hotel Shangri-la itu adalah perbelanjaan majlis pertunangan anak beliau;
- Najib perlu mengesahkan sama ada dokumen Banquet Event Order (BEO) yang dikemukakannya adalah dokumen yang sah dan bukannya palsu;
- Najib beliau perlu mengarahkan Pejabat Perdana Menteri mengemukakan kepada rakyat salinan dokumen tempahan yang dihantar kepada Hotel Shangri-la untuk menentukan pihak yang bertanggungjawab membuat tempahan tersebut;
- Najib perlu mengarahkan Pejabat Perdana Menteri mengemukakan rekod perakaunan dari sistem perakaunan Kerajaan Malaysia yang merekodkan tempahan pembelian tersebut bagi menentukan sama ada tempahan direkodkan sebagai tanggungan Kerajaan Malaysia
- Najib perlu mengarahkan Pejabat Perdana Menteri mengemukakan kepada rakyat salinan invois yang dihantar oleh Hotel Shangri-la kerana ia boleh menjadi bukti bahawa ia dicaj kepada Perdana Menteri atas kapasiti peribadi beliau ataupun ditanggung oleh Kerajaan Malaysia
- Najib perlu mengarahkan Pejabat Perdana Menteri mengemukakan rekod perakauan dari sistem perakaunan Kerajaan Malaysia yang merekodkan invois tersebut bagi menentukan sama ada bayaran akan dibuat oleh Kerajaan Malaysia;
- Najib perlu mengarahkan Pejabat Perdana Menteri mengemukakan baucar bayaran yang dibuat kepada Hotel Shangri-la untuk menentukan siapakah yang mula-mula sekali menyelesaikan tanggungan belanja majlis tersebut; dan
- Najib perlu mengemukakan bukti bayaran yang dibuat oleh beliau dan keluarga beliau untuk menanggung perbelanjaan tersebut; termasuklah salinan cek, penyata bank atau dokumen-dokumen lain dari akaun bank peribadi beliau.

No comments:

Post a Comment