Sunday, March 4, 2012

'Saya guna duit poket sendiri'

Hasan Ali bertegas tak terima tajaan biaya ceramah jelajah negara

KUALA LUMPUR: Bekas EXCO kerajaan Selangor, Datuk Dr Hasan Ali menegaskan beliau tidak menerima tajaan daripada mana-mana parti politik serta Kementerian Belia dan Sukan, sebaliknya menggunakan duit poket sendiri untuk menjayakan siri ceramah jelajah negara yang kini sudah berada di 33 kawasan.
Hasan yang juga Presiden JATI, berkata program anjuran pertubuhan itu termasuk ceramah tiada kaitan dengan tajaan daripada mana-mana pihak dan pihak yang mendakwa boleh tampil mengemukakan bukti.
Bagaimanapun, katanya beliau tidak menafikan ada menerima sedikit sumbangan daripada pihak yang sama-sama mahu memartabatkan Islam, Melayu dan mendaulatkan institusi Raja-Raja Melayu yang tidak mahu nama mereka didedahkan, malah menganggap tidak salah NGO menerima sumbangan itu.

“Saya tidak nampak apa masalahnya... masalahnya ialah ada orang dengki, hasad, khianat, tidak boleh lihat orang senang (sebab itu ada dakwaan JATI mendapat tajaan),” katanya pada sidang media di rumahnya, di sini, semalam.

Kelmarin Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar meminta penjelasan daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) kononnya terdapat unit di bawah kementerian itu yang menyumbangkan RM30 juta untuk membiayai 2,000 siri ceramah Hasan di seluruh negara, menjelang pilihan raya umum akan datang.

Hasan dikatakan diberi tugas untuk mendekati golongan belia dalam siri ceramahnya di seluruh negara untuk menarik sokongan di kalangan pengundi muda.
Sehubungan itu, Hasan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Mahfuz dalam masa terdekat kerana tuduhan itu disifatkan berniat jahat, fitnah dan cubaan untuk memburukkan imej dan mencemar kredibilitinya sebagai ahli politik dan pakar runding profesional.

Kenyataan itu juga katanya mencemar imejnya sebagai pakar motivasi dan peneraju badan bukan kerajaan (NGO) seperti JATI yang berjuang untuk mengagungkan Islam, memartabatkan bangsa Melayu dan mendaulatkan institusi Raja Melayu.

“Saya percaya Mahfuz menjadi kuda tunggangan untuk mengalihkan isu pergolakan politik di Kedah selain (dengki dengan) kejayaan program jelajah yang menerima kunjungan antara 15,000 hingga 20,000 orang di setiap kawasan.

“Saya lihat kenyataan Mahfuz begitu berani malah saya anggap paling berani di dunia kerana beliau tidak kisah sama ada kenyataan itu disokong dengan fakta atau tidak,” katanya.

Mengulas lanjut, Hasan yang juga bekas Pesuruhjaya PAS Selangor menegaskan beliau tidak terbabit dalam mana-mana rundingan dengan KBS untuk membincangkan program belia seperti didakwa Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena.
Berita Harian Online | 'Saya guna duit poket sendiri':

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment