Thursday, March 22, 2012

Siapa serah tanah Singapura kepada asing


Datuk Mohd Amar Abdullah 
 Rizal Tahir,
22 Mac 2012
KOTA BHARU, 22 Mac: Kerajaan Umno dan BN diminta menjawab isu Singapura yang telah terkeluar dari Malaysia sebenarnya angkara siapa.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah (gambar) berkata, sekiranya ingin mempertikaikan soal bangsa  akibat tanah rizab Melayu digadai, beliau meminta kerajaan menjawab siapa yang menyerahkan Singapura kepada pihak luar.

Beliau berkata demikian selepas mesyuarat exco sebagai mengulas  laporan akhbar Utusan Malaysia yang bertarikh 21 Mac, mengulas kenyataan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Seri Mustapha Mohamed.

Mustapha mendakwa ramai rakyat teraniaya dengan tindakan kerajaan negeri yang dilihat ghairah mengejar pembangunan walaupun tanpa perancangan teliti hingga memajak tanah rizab Melayu kepada syarikat bukan bumiputera dari luar Kelantan.

Katanya, kalau ingin menyentuh soal tanah yang diberikan pada syarikat bukan Melayu sebagaimana yang didakwa akhbar berkenaan, siapa yang menyerahkan Singapura kepada Lee Kuan Yew.

“Jika ingin menyentuh tentang bangsa sebagaimana laporan Utusan Malaysia kita boleh menyoal mereka balik, siapa yang menyerahkan Singapura kepada Lee Kuan Yew.

“Singapura bukan lagi dipajak oleh bangsa asing, malah diberikan sampai bila-bilapun, siapa yang memberikannya sehingga terkeluar dari Malaysia,”ujarnya lagi.

Katanya, begitu juga Pulau Redang diberikan kepada Berjaya Group, Genting Hiland, diberikan kepada Lim Goh Tong, separuh Pulau Langkawi pernah menjadi milik Bon Siew Honda.

Tambahnya, malah  Balik Pulau, Pulau Pinang juga turut dijajah oleh bukan Melayu.

Jadi, sekiranya isu rizab tanah Melayu di Kelantan yang didakwa telah dipajak pada syarikat bukan bumiputera hingga menyusahkan rakyat itu, sepatutnya rakyat perlu menilai tentang tanah rizab Melayu di negeri lain yang sebenarnya makin terhakis.

“Itupun kalau Umno ingin mainkan isu bangsa, kita bukan fitnah perkara memang betul berlaku terutama sekali Singapura di mana rakyat Melayu hanya menumpang sahaja di republik itu,”ujarnya.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah negeri itu juga berkata, isu tanah rizab Melayu yang dikatakan terancam, tidak berbangkit.

Sambungnya, ini kerana tanah rezab Melayu tidak ditukar status walaupun ianya diberi pajakan, jadi ianya masih kekal sebagai tanah rizab Melayu yang langsung tidak berkurangan atau terhakis.

“Lagipun di Kelantan  tanah ini dipajak seperti disewa kepada individu atau syarikat tidak bertukar milik atau status sebagai contoh selama 66 tahun atau 99 tahun.

“Bila cukup tempoh yang telah ditetapkan dalam perjanjian, ianya akan menjadi hak milik kerajaan negeri semula,”ujarnya lagi.

Tambahnya lagi, apabila kerajaan memberi pajakan pada syarikat atau individu tentu sekali mengikut syarat yang telah ditetapkan.

Sambungnya, pertama sekali tanah berkenaan tidak boleh dicagar atau dijadikan jaminan kepada bank, jadi tidak timbul lagi soal tanah rizab kena lelong atau sebagainya.

Nik Amar berkata, laporan berkenaan dibuat kerana tindakan politik untuk menghadapi perang pilihanraya semakin hampir.

Sambungnya, jika diperhatikan ada sifat terdesak di kalangan pemimpin Umno untuk mendapat sokongan rakyat di Kelantan.

“Kerana menyedari isu tanah begitu sansifit termasuk isu air, pihak Umno menjadikannya sebagai modal murah sebagai kempen pilihanraya umum apa lagi tidak mempunyai isu lain untuk menghentam kerajaan negeri,”ujarnya lagi.

Sehubungan itu, kerajaan negeri menyeru rakyat di negeri itu supaya tidak termakan dengan propaganda murahan yang dimainkan pihak Umno khususnya melalui akhbar pro mereka Utusan Malaysia.

Beliau meminta mereka merujuk kerajaan negeri untuk mendapatkan fakta.

Beliau bagaimanapun melahirkan rasa gembira kerana akhbar berkenaan mengakui rizab tanah Melayu di negeri itu sebanyak 95 peratus daripada lebih sejuta hektar tanah.

Tiada negeri yang mempunyai rizab Melayu yang lebih tinggi berbanding Kelantan sehingga 95 peratus.

Ini bermakna kerajaan BN selama ini telah gagal mempertahankan tanah rizab Melayu di negeri yang diperintah mereka.

Sambungnya, tindakan undang-undang yang bakal diambil tidak bererti kerajaan negeri tidak boleh dikritik, namun apa yang berlaku adalah fitnah.

“Jika niat politik, mengelirukan rakyat apa lagi berniat menghasut rakyat, kerajaan negeri tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang,”ujarnya lagi.

No comments:

Post a Comment