Wednesday, April 11, 2012

Scomi rancang bina kilang pembuatan di India

Scomi Engineering Bhd menguji tren empat koc pada kelajuan 80km di Mumbai. – Foto Bernama NEW DELHI - Beberapa syarikat India kini meninjau untuk kemungkinan menjalin usaha sama dengan Scomi Group bagi menubuhkan kilang pembuatan berkaitan monorel di India, berikutan peningkatan permintaan bagi perkhidmatan infrastruktur di sini.

Ketua Eksekutif kumpulan Shah Hakim Zain berkata beberapa nama-nama besar di India telah menemui Scomi bagi kemungkinan jalinan pakatan.

"Kami telah mengadakan perbincangan dengan beberapa bakal rakan kongsi untuk usaha sama bagi menubuhkan kemudahan pembuatan di India. Kami sentiasa menerima cadangan," kata beliau kepada Bernama dalam temu bual melalui telefon.

Terdapat sejumlah besar bagi kemudahan sedemikian di India memandangkan saiz pasaran bagi perniagaan monorel di India dianggarkan berjumlah US$15 bilion dalam masa lima tahun, kata beliau.

Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan negeri mana yang dalam perancangan Scomi untuk membina kilang berkenaan.

Di bawah segmen penyelesaian pengangkutannya, Scomi memberi tumpuan kepada pembuatan dan reka bentuk sistem monorel, bas, kenderaan tujuan khas, gerabakrel dan penyelesaian kenderaan pertahanan.

Menyenaraikan unit Indianya di Bursa Saham Bombay merupakan satu lagi pilihan bagi Scomi setelah ia memperluaskan kedudukannya di rantau berkenaan, kata Shah.

"Saya rasa penyenaraian merupakan satu daripada pilihan, kami mahu memastikan operasi secara tempatan dengan mendapatkan modal dalam negara, yang akan membolehkan kami berkembang lebih pantas di pasaran berkenaan," kata beliau semasa ditanya sama ada Scomi akan menyenaraikan unit itu di India.
Setelah berjaya melaksanakan projek monorel pertama India di Mumbai, jenama Scomi diterima dengan baik dan syarikat boleh memanfaatkannya, kata beliau.

Scomi Engineering Bhd dan rakan konsortiumnya, Larsen & Toubro, memperoleh projek Monorel Mumbai yang bernilai RM1.846 bilion pada November 2008.

Sehingga kini, selain projek Mumbai, Scomi Engineering telah menandatangani perjanjian pembinaan bersama dengan Geodesic Techniques Pvt Ltd bagi membina cadangan monorel sepanjang 59 kilometer di Bangalore.

Ia juga memeterai Memorandum Persefahaman (MOU) dengan TATA Realty and Infrastructure Ltd, pada Julai lepas, bagi meneruskan projek sistem pengangkutan modern di Ludhiana.

Ia juga membida bagi projek monorel di Chennai dan Delhi serta menandatangani MoU tiga tahun dengan Engineering Projects (India) Ltd untuk melaksanakan projek-projek bagi pembinaan monorel dan sistem transit berkelajuan tinggi massa di India dan luar negara.

Di Malaysia, beliau berkata keputusan kerajaan untuk menggiatkan semula projek monorel Putrajaya amat bergantung kepada pertumbuhan trafic di pusat pentadbiran negara itu.

"Kami telah mengadakan perbincangan awal mengenainya," kata Shah yang enggan mnejelas lanjut.

Mengenai tren empat gerabak yang baru bagi KL Monorail, beliau berkata ia akan dilaksanakan menjelang akhir tahun.

"Tren generasi baru lebih besar, luas, selesa dengan suspensi dan isyarat yang lebih baik. Ia merupakan naik taraf bagi keseluruhan sistem dengan standard keselamatan yang lebih baik," kata Shah dan menambah bahawa tren yang lebih baru juga mengurangkan kos operasi. - Bernama

No comments:

Post a Comment