Wednesday, May 2, 2012

Azmin: Dakwaan seks fitnah Umno menjelang PRU13

Azmin: Dakwaan seks fitnah Umno menjelang PRU13 - Politik - Sinar Harian:


Azmin Ali
Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali
SHAH ALAM - Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali mengecam keras tindakan beberapa blog pro-Umno yang mendakwanya melanggan seks sambil menyifatkan ia sebagai satu "fitnah" terbaru pihak Umno menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Kata Azmin, ia fitnah yang ditohmah ke atas dirinya untuk mengaibkan beliau dan keluarga susulan nasib dilalui Ketua Umumnya Datuk Seri Anwar Ibrahim tahun lalu.
"Fitnah jelek ini disebarkan oleh media yang dikuasai Umno yang memetik sumber blog pro-Umno.

"Fitnah ini memaparkan seorang lelaki yang mereka tohmah sebagai saya bersama seorang wanita dalam tandas.

"Saya menafikan sekeras-kerasnya fitnah tersebut. Ianya adalah fitnah ulangan menggunakan modus operandi yang sama yang digunakan terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim," kata beliau dalam satu kenyataan media hari ini.

Azmin berkata, beliau amat kesal memandangkan tindakan menyiarkan bahan sedemikian adalah fitnah bersiri terhadapnya dan juga keluarganya selepas fitnah jijik ke atas isteri dan anak-anaknya, disusuli dengan dakwaan pemilikan saham.

"Kemudiannya saya dituduh menghina Raja-Raja Melayu dan baru-baru ini saya ditohmah mencetuskan provokasi dalam himpunan aman Bersih 3.0.

"Sebelum ini saya dan isteri serta anak kecil saya telah pun melakukan ujian DNA sebanyak dua kali dalam bulan Julai 1998," katanya.

Azmin yang juga Ahli Parlimen Gombak berkata, kedua-dua keputusan ujian tersebut menempelak fitnah ke atas diri beliau, isteri dan keluarganya.

"Hasil ujian jelas menyebut serta mengesahkan saya dan isteri merupakan ‘biological parent’ kepada anak kami.

"Ujian DNA tersebut sekali gus memelihara maruah saya dan keluarga," kata Azmin lagi.Namun kata Azmin, Umno masih mengulangi fitnah

kejam tersebut sepanjang 14 tahun ini walaupun bukti sudah jelas lagi nyata bahawa tuduhan mereka terhadap dirinya dan keluarga merupakan pembohongan semata-mata.

"Setelah kesemua fitnah tidak berjaya, mereka mengulangi skrip usang fitnah seks yang memualkan untuk mengaib dan mematahkan semangat saya. Fitnah jahat seperti ini diulang-ulang untuk membentuk persepsi rakyat terhadap maruah dan kredibiliti saya menjelang pilihan raya.

"Munculnya fitnah ini tatkala Umno dihimpit krisis keyakinan dan menjadi sasaran kemarahan rakyat selepas perhimpunan Bersih adalah untuk mengalih pandangan rakyat dari isu sebenar iaitu isu penipuan pilihan raya dan penyelewengan dana awam," kata Azmin sambil menegaskan, "saya tetap tuntas dengan perjuangan membawa obor reformasi demi rakyat."

Azmin berkata, beliau mahu pimpinan Umno menghentikan budaya politik fitnah yang boleh menghancurkan negara dan masyarakat.

Sehubungan itu, Azmin juga menegaskan, beliau akan terus bersama-sama pimpinan PKR dan Pakatan Rakyat untuk menjana perubahan dan membawa kemenangan rakyat dalam PRU13.

No comments:

Post a Comment