Friday, May 11, 2012

Guru sertai Bersih 3.0 dikenal pasti

PASIR MAS - Tiga guru dari Kelantan telah dikenal pasti terlibat dalam kejadian merusuh ketika Bersih 3.0 di Kuala Lumpur pada 28 April lalu.

Penolong Pegawai Kokurikulum Jabatan Pelajaran Negeri, Ahmad Razukee Zulkifli berkata, pihaknya menjalankan siasatan menyeluruh di peringkat jabatan.

Beliau berkata, pihaknya ada menerima beberapa laporan berhubung kes berkenaan dan siasatan menyeluruh sudah dijalankan.

“Siasatan 90 peratus lengkap dan kita mendapati terdapat beberapa guru terlibat ketika Bersih 3.0 baru-baru ini.

“Guru berkenaan berusia dalam lingkungan 40-an dan boleh dikategorikan guru berpengalaman,” katanya ketika Majlis Penutupan Latihan Tahunan Kor Kadet Polis Diraja Malaysia, peringkat Negeri di Kem Desa Mahmood, semalam.

Razukee berkata, identiti guru berkenaan masih dirahsiakan, bagi menyiapkan laporan sepenuhnya.

Menurutnya, selesai siasatan mereka akan menyerahkan kes berkenaan kepada pihak polis, bagi tindakan lanjut.

Beliau turut mengakui bahawa terdapat segelintir yang menentang kepimpinan Kerajaan Pusat, namun ia dikategorikan sebagai kes terpencil.

No comments:

Post a Comment