Tuesday, May 8, 2012

Peguam ditahan bantu siasatan perhimpunan

Berita Harian Online | Peguam ditahan bantu siasatan perhimpunan:
pix_gal0

Polis edar 25 lagi gambar individu dikehendaki 

KUALA LUMPUR: Seorang lagi individu tampil menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, di sini semalam bagi membantu siasatan kekacauan dan huru hara di sekitar ibu negara ketika berlangsungnya perhimpunan BERSIH 3.0, 28 April lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah, berkata lelaki berusia 44 tahun itu, yang juga seorang peguam menyerah diri kira-kira jam 2.45 petang susulan penyiaran gambarnya dalam beberapa media tempatan sebelum ini.
“Sebaik menyerah diri, peguam terbabit kemudian ditahan sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) IPK Kuala Lumpur bagi membantu siasatan berhubung kejadian rusuhan tempoh hari mengikut Seksyen 117 Kanun Keseksaan. 

“Berikutan penahanan itu, empat individu sudah ditahan untuk soal siasat setakat ini, khusus bagi membantu polis mengenalpasti siapa dalang utama insiden kekacauan yang berlaku dalam perhimpunan itu hingga menggugat keselamatan negara dan ketenteraman awam,” katanya ketika dihubungi semalam. 

Tanpa mendedahkan identiti peguam itu, Chin Wah mengesahkan individu terbabit menyerah diri dengan ditemani peguamnya. 

Sementara itu, polis mengedarkan gambar 25 lagi individu dikehendaki selepas disyaki terbabit dalam insiden kekacauan ketika berlangsungnya perhimpunan berkenaan, termasuk bertindak ganas dengan merosakkan harta benda awam dan menyerang anggota polis bertugas. 
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohmad Salleh, berkata semua gambar individu terbabit diteliti dan dikenal pasti melalui rakaman visual media dan polis sepanjang perhimpunan berkenaan terutama selepas insiden kekacauan itu tercetus. 

“Semua individu yang gambarnya sudah disiarkan (termasuk hari ini) perlu tampil segera (di IPK Kuala Lumpur) bagi membantu siasatan. Sekiranya enggan menyerah diri, polis akan mengesan mereka berdasarkan alamat yang sudah dikenal pasti. 

“Kita juga meminta kerjasama orang ramai yang mengenali individu disiarkan tampil menyalurkan maklumat kepada mana-mana balai polis berhampiran,” katanya dalam satu kenyataan media, petang semalam. 

Mohmad berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Asisten Superintendan Azmi Aziz melalui talian 019-2602344 dan 
019-3872344 atau e-mel, azmiaziz@rmp.gov.my. 

Penyiaran gambar terbaru itu menjadikan keseluruhannya 116 individu sedang diburu polis bagi membantu siasatan berhubung insiden kekacauan berkenaan.

No comments:

Post a Comment