Monday, May 14, 2012

Veteran UMNO maut kemalangan

Utusan Malaysia Online - Jenayah:


Sebahagian penumpang bas yang cedera ringan duduk di tepi jalan selepas terlibat dalam kemalangan di Kilometer 258.8 Lebuh Raya Utara-Selatan, Seremban, semalam.
SEREMBAN 12 Mei - Seorang ahli veteran UMNO maut selepas bas dinaikinya merempuh belakang sebuah lagi bas rombongan yang dalam perjalanan pulang setelah menghadiri Sambutan Ulang Tahun UMNO Ke-66 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur malam tadi.
Kedua-dua bas itu yang membawa 44 penumpang dari Johor dan 40 penumpang dari Terengganu dikatakan dalam perjalanan ke Melaka dan Batu Pahat, Johor.
Namun, setibanya, di Kilometer 258.8 Lebuh Raya Utara-Selatan, arah selatan, dekat sini pukul 2.58 pagi, bas rombongan Terengganu tersebut hilang kawalan lalu merempuh belakang sebuah treler di kiri lebuh raya.
Bas rombongan Johor yang mengekori di belakang tidak sempat mengelak lalu merempuh pula bas berkenaan.
Rempuhan itu mengakibatkan, mangsa, Roa Dol, 79, dari Batu Pahat, Johor, yang berada di tempat duduk keempat terhumban ke depan dan cedera parah. Dia meninggal dunia semasa menerima rawatan di Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) pukul 5.40 pagi.
Seramai 77 penumpang lain cedera ringan dan selebihnya dilaporkan selamat.
Pengarah HTJ, Dr. Jaafar Che Mat memberitahu, sejurus kemalangan, kesemua mangsa dikejarkan ke hospital berkenaan untuk menerima rawatan lanjut sebelum mereka dibenarkan pulang.
Pegawai Turus Trafik negeri, Asisten Supritendan Abd. Halil Hamzah yang mengesahkan kejadian itu berkata, punca sebenar kejadian masih lagi dalam siasatan.
"Difahamkan, kejadian berlaku apabila sebuah bas rombongan berkenaan dikatakan gagal dikawal lalu melanggar belakang sebuah treler sebelum bas kedua melanggar bas yang pertama (rombongan UMNO Terengganu).
"Polis masih menjalan siasatan bagi mengetahui punca sebenar dan saksi kejadian diminta tampil bagi membantu siasatan," katanya ketika dihubungi di sini.
Sementara itu, Ketua Operasi Bomba dan Penyelamat Daerah Rahang, Ehsan Sukardi berkata, bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut pada pukul 2.58 pagi daripada orang ramai.
Katanya, sebanyak tiga jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Seremban, Rahang dan Seremban 2, bersama 27 anggotanya dikejarkan ke lokasi.
"Bomba berjaya mengeluar mangsa termasuk yang tersepit dalam masa beberapa minit sahaja. Penumpang lain juga selamat keluar menggunakan pintu kecemasan di bahagian belakang bas," katanya.

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment