Saturday, June 23, 2012

Diarah bayar RM200,000 kepada Guan Eng

GEORGETOWN: Mahkamah Tinggi di sini semalam memerintahkan Utusan Melayu Berhad (Utusan Melayu) membayar RM200,000 kepada Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng sebagai ganti rugi perkataan fitnah yang dilaporkan dalam akhbar syarikat itu pada 2008.
Pesuruhjaya Kehakiman, Nurmala Salim, dalam penghakimannya memutuskan artikel DEB: Guan Eng Tetap Berdegil yang disiarkan Utusan Malaysia pada 15 Mac 2008 mengandungi perkataan fitnah iaitu ‘menghapuskan Dasar Ekonomi Baru (DEB)’ yang tidak disebut Guan Eng.

Beliau berkata, perkataan yang digunakan akhbar itu terlalu berat, tidak mempunyai maksud sama dengan perkataan ‘bebas’, boleh menyebabkan ketegangan kaum serta perbuatan tidak bertanggungjawab dalam konteks masyarakat majmuk.
“Oleh itu, mahkamah berpendapat artikel yang disiarkan itu bertujuan memfitnah dengan cuba menggambarkan plaintif seorang ahli politik berniat jahat dan mempunyai pendirian untuk menghapuskan DEB.

“Oleh itu, mahkamah menganugerahkan kepada plaintif ganti rugi RM200,000 dan kos berjumlah RM20,000,” katanya.

Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP menyaman fitnah Utusan Melayu berhubung artikel itu dengan mendakwa ia mengandungi perkataan berunsur fitnah dan berniat jahat selain menafikan mengeluarkan perkataan berkenaan pada satu sidang akhbar.
Beliau diwakili Jagdeep Singh Deo manakala Utusan Melayu diwakili Mohana Kumar.

Sementara itu, Guan Eng berkata, dia gembira kerana mahkamah memberikan keadilan bagi membetulkan fitnah yang digunakan untuk menyerangnya selama empat tahun ini.
“Ini kemenangan kali kedua saya ke atas Utusan (Melayu). Hari ini juga hari kemenangan kepada kebebasan akhbar yang berdasarkan dua syarat iaitu melaporkan berita benar dan memberi peluang menjawab tuduhan yang dilemparkan kepada kami,” katanya.

No comments:

Post a Comment