Monday, June 18, 2012

Digantung pengajian

PASIR GUDANG: Kementerian Pengajian Tinggi menyerahkan kepada Universiti Malaya (UM) untuk mengambil tindakan terhadap penuntutnya yang didakwa menghina Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.
Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata beliau difahamkan pelajar itu, Haziq Abdullah Abdul Aziz, kini digantung pengajian kerana terbabit dalam Demonstrasi Mansuh Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN) pada 14 April lalu. “Sebagai penuntut, dia patut sensitif dan patut tahu suasana persekitaran negara dan sebagainya...terpulang kepada universiti (untuk ambil tindakan),” katanya selepas Majlis Penyerahan Borang Notis 5A kepada 75 penduduk Kampung Pasir Gudang Baru, di sini, semalam. Haziq dipercayai mempertikai tindakan Sultan Johor, yang murka terhadap bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaludin berhubung isu pembidaan nombor plet kenderaan WWW1, di laman sosial Twitter miliknya pada 15 Jun lalu. Pengajian penuntut tahun pertama Ijazah Sarjana Muda Undang-undang itu digantung satu semester mulai September ini. - Bernama

No comments:

Post a Comment