Isu PTPTN
$entry.content.caption.value
SHAH ALAM - Kerajaan Selangor mengumumkan tindakan jangka pendek untuk membantu pelajar-pelajar Universiti Selangor (Unisel) yang berhadapan dengan sekatan pinjaman oleh Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, pihaknya memandang berat kesusahan yang dihadapi pelajar-pelajar baru Unisel yang teraniayai ekoran tindakan Kerajaan Persekutuan dan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Khaled Nordin yang membekukan PTPTN kepada pelajar di universiti tersebut.

"Aset ini merupakan hartanah seluas 500 ekar yang diperolehi hasil penyusunan semula hutang-hutang Talam.

"Kerajaan Selangor telah selesai menyusun semula hutang-hutang ini di mana tanah seluas 500 ekar telah menjadi aset Unisel," kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, Kerajaan Negeri akan membantu Unisel mengapungkan hartanah tersebut di pasaran untuk mendapatkan wang tunai.
"Dianggarkan sejumlah RM30 juta boleh diperolehi hasil dari usaha ini.

"Sebahagian wang ini akan digunakan untuk membantu pelajar-pelajar yang teraniayai akibat dari tindakan kerajaan BN membekukan PTPTN," kata beliau lagi.

Bagaimanapun jelas beliau, bantuan kewangan ini hanya berbentuk sementara sehingga penyelesaian konkrit dicapai.

"Unisel akan memperincikan bantuan yang akan diberikan kepada pelajar-pelajar teraniayai ini dalam tempoh terdekat," katanya lagi.

Malah menurut beliau, Kerajaan Selangor sangat kecewa dengan tindakan Kerajaan Persekutuan khususnya Menteri Pengajian Tinggi yang mengaku bertanggungjawab mengarahkan pembekuan PTPTN kepada Unisel.

"Tindakan tidak bertanggungjawab dan membelakangi semangat federalisme ini bukan sahaja menganiayai pelajar-pelajar baru, malah telah mengecewakan ibu bapa yang menaruh harapan tinggi terhadap anak-anak mereka," tambah beliau.

Khalid berkata, BN telah menjadikan pelajar Unisel dan ibu bapa mereka yang sebahagian besarnya Melayu sebagai mangsa hanya kerana perbezaan dasar politik antara Kerajaan Selangor dan Pusat.

"Hal ini jelas menunjukkan BN sanggup melakukan apa sahaja untuk melaksanakan politik sempit mereka hatta menganiaya dan menggadai masa depan anak-anak muda di negara ini," kata beliau lagi.