Monday, July 16, 2012

‘Ore nok bini’

PASIR MAS: “Abah..bila kepala ore (saya) sudah ok, ore nok (nak) bini (kahwin),” kata Mohd Izanuddin Hisham Muhamad, 24, secara berseloroh kepada bapanya, Muhamad Mohd Noor, 52, sebaik dimaklumkan mengenai pembedahan kepalanya yang dijangka dilakukan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, hari ini.
Bagaimanapun, Muhamad hanya mampu tersenyum sebaik mendengar celoteh anak sulungnya itu walaupun hakikatnya, Mohd Izanuddin atau lebih dikenali sebagai Hisham, tidak pernah mempunyai teman wanita atau calon isteri selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya pada 2009.

Akibat kemalangan ngeri itu, Hisham terpaksa menanggung derita selama tiga tahun apabila hidup dengan separuh tempurung kepala saja hingga menimbulkan ketakutan kepada sesiapa yang tidak pernah melihatnya secara lebih dekat.
Bagaimanapun penderitaannya bakal berakhir hari ini apabila satu keluarga dari Pulau Pinang yang enggan mendedahkan identiti mereka, bersetuju membiayai pembelian tempurung kepala tiruan atau ‘skull match’ berharga RM8,500 untuk dicantumkan dengan tempurung kepala asal Hisham.

Muhamad yang bekerja kampung berkata, dia sekeluarga bersyukur ke hadrat Ilahi kerana keluarga terbabit sudi membiayai pembedahan Hisham walaupun keluarganya bukan darah daging mereka.

Katanya, ketika menerima panggilan telefon daripada wakil keluarga terbabit dua bulan lalu, dia terkejut dan seolah-olah tidak percaya yang Hisham akan dibantu untuk menjalani pembedahan.
“Berulang kali saya bertanyakan namanya (penderma), tetapi dia enggan memberitahu, sebaliknya sekadar memaklumkan dirinya adalah ‘hamba Allah’ yang prihatin dengan nasib menimpa Hisham.

“Mengalir air mata saya sebaik mengenangkan keprihatinan mereka dan saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada dia sekeluarga, termasuk Harian Metro kerana sudi membantu Hisham meneruskan kehidupannya semula,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Harian Metro pada 7 April lalu melaporkan, bahagian depan kepala Hisham cukup untuk memuatkan dua gelas air atau satu blok kayu berukuran segi empat selepas separuh tempurung kepalanya terpaksa dikeluarkan doktor kerana cedera parah akibat kemalangan jalan raya.

Selain kehilangan separuh tempurung kepala dan otak, Hisham turut juling mata kiri, namun mengakui penglihatannya masih jelas.

Dalam pada itu, di sebalik kegembiraan anaknya bakal dibedah, Muhamad mengakui dia dan isteri, Shamsiah Yatim, 57, pernah ditipu RM1,000 oleh seorang lelaki dikenali sebagai Wan, seminggu selepas berita mengenai anaknya disiarkan di Harian Metro.

Katanya, pelbagai janji manis ditaburkan lelaki terbabit, termasuk sanggup membiayai pembedahan Hisham di Brunei dengan menanggung kos rawatannya yang dianggarkan berjumlah RM5,000.

“Bagaimanapun lelaki itu mengenakan satu syarat kepada saya supaya membayar RM1,000 dan selebihnya akan ditanggung olehnya.

“Percaya dengan kata-katanya, selain ingin melihat Hisham kembali pulih, isteri saya rela menggadaikan satu-satunya rantai emas miliknya sebelum memasukkan wang berkenaan ke akaun simpanan lelaki terbabit,” katanya.

Menurutnya, selepas wang yang dimasukkan cukup RM1,000, isterinya terus menghubungi lelaki itu, namun kecewa apabila dia gagal dihubungi.

“Menyedari kami ditipu oleh lelaki berkenaan, isteri saya membuat laporan polis.

“Saya sekeluarga sedih kerana masih ada anggota masyarakat cuba mengambil kesempatan untuk menipu kami,” katanya.

Sementara itu, ‘hamba Allah’ yang membantu Hisham ketika dihubungi berkata, tempurung kepala tiruan itu ditempah dari Singapura.

Katanya, dia sekeluarga mendoakan Hisham supaya selamat di sepanjang pembedahan itu.

“Saya sekeluarga terpanggil untuk membantu Hisham sebaik membaca mengenai penderitaan Hisham menerusi akhbar Harian Metro,” katanya.

No comments:

Post a Comment