Tuesday, July 31, 2012

Rumah terbengkalai, 477 tentera jadi mangsa

Harakahdaily,
30 Jul 2012
MACHANG: Polis diminta menyiasat bagaimana satu pemaju perumahan mendapat tuntutan 100 peratus bayaran pinjaman perumahan padahal projeknya terbengkalai.

(Dokumen berupa laporan polis dan surat dari Kementerian Kewangan yang diberikan Zainal kepada Harakahdaily)

Ini kerana, akibat apa yang berlaku, 477 tentera yang terlibat dalam membeli rumah di projek berkenaan dipotong gaji mereka untuk bayaran pinjaman tetapi rumah tidak boleh diduduki.

Menurut salah seorang dari mangsa ini, Zainal Ismail, beliau bersama anggota tentera yang lain membeli rumah di Taman Sri Labok, Machang pada pertengahan 2008.

Mengikut perjanjian jual beli antara mereka, rumah itu akan disiapkan pada tahun 2009 namun sehingga sekarang ia tidak disiapkan.

Yang memeranjatkan mereka adalah, Bahagian Pinjaman Perumahan (BPP), Kementerian Kewangan telah mengeluarkan 100 peratus bayaran tuntutan kepada syarikat pemaju ini walaupun rumah mereka belum disiapkan lagi.

Ia bermakna, syarikat ini mendapat tuntutan lebih RM40 juta duit dari Kementerian Kewangan itu walaupun tidak menyiapkan rumah yang mereka bina.

Zainal telah membuat laporan polis Balai Polis Machang pada 12 April 2011 ekoran apa yang berlaku.

Beliau juga telah membuat laporan kepada Bahagian Pinjaman Perumahan, Kementerian Kewangan tentang apa yang berlaku.

Hasilnya, Kementerian Kewangan pada 14 Mac 2012 telah mengeluarkan surat kepada Biro Pengaduan Awam, Kuala Terengganu bagi melaporkan kes ini.

Mereka mengesahkan projek ini memang terbengkalai tetapi telah mendapat tuntutan 100 peratus dari kementerian.

Ekoran itu, BPP telah membuat keputusan untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas pemaju itu kerana mengemukakan tuntutan palsu kepada kerajaan tanpa menyiapkan rumah itu.

Sehubungan itu, BPP telah membuat laporan polis pada 1 Mac 2012 di IPD Putrajaya yang melibat 12 projek perumahan yang melibatkan pemaju perumahan berkenaan.

BPP juga membuat laporan kepada Lembaga Arkitek Malaysia kerana terdapat pengesahan arkitek terhadap semua tuntutan yang dibuat oleh pemaju berkenaan.

Bagi menguatkan laporannya, Zainal telah menghantar satu surat khas kepada Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar agar membantu beliau dan rakan-rakannya yang teraniaya.

No comments:

Post a Comment