Ibu muda mohon bantuan
Mohd Aiddil Idham yang kini ditahan di IJN dijangka akan menjalani pembedahan membetulkan saluran darah ke jantung yang terbalik dalam tempoh tiga minggu lagi.
KEMAMAN –  Seorang ibu muda buntu memikirkan cara untuk membiayai kos pembedahan anak sulungnya yang menghidap masalah saluran darah ke jantung terbalik sejak dilahirkan pada 23 Julai lalu dan kini ditahan di Institut Jantung Negara (IJN).

Wan Norshafieka Wan Shaharuddin, 18, berkata, bayinya Mohd Aiddil Idham Mohd Faizal Azuan, 10 hari, itu dilahirkan secara normal di Hospital Kemaman pada 23 Julai lalu, namun ketika menerima suntikan beberapa jam selepas dilahirkan, tubuh bayi itu secara tiba-tiba bertukar menjadi biru-kebiruan.

Wan Norshafieka yang masih berpantang di rumah ibunya di Kampung Mak Lagam di sini berkata, bayinya itu kemudian dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu pada sebelah petangnya sebelum keesokannya dihantar pula ke IJN.

“Petugas hospital kemudian merujuk bayi saya ke Hospital Sultanah Nur Zahirah di Kuala Terengganu dan doktor mengesahkan bayi saya mengalami masalah jantung dan menerbangkan anak saya ke IJN dengan ditemani suami.

“Ketika tiba di IJN, rawatan laser dilakukan ke atas bayi saya untuk pecahkan saluran darah dan doktor memberitahu pembedahan akan dilakukan dalam tempoh tiga minggu untuk membetulkan kembali saluran darah ke jantung anak saya yang terbalik ini. Kos pembedahan nanti dianggarkan berjumlah RM20,000.

“Sehingga sekarang perkembangan bayi saya dipantau doktor dan sekiranya keadaannya stabil baru boleh dibedah. Kos rawatan laser baru-baru ini adalah sebanyak RM6,000 tetapi kami masih belum buat pembayaran penuh dan hanya mampu memberi pendahuluan sebanyak RM300," katanya.

Katanya, suaminya, Mohd Faizal Azuan Mahamood, 20, menjaga bayi mereka itu di IJN memandangkan dirinya dalam pentang bersalin dan terbatas dari segi pergerakan.

Menurutnya, suaminya hanya bekerja secara kontrak dan pendapatan tidak menentu sekitar RM700 sebulan, sementara dia pula tidak bekerja menyebabkan mereka tidak mampu untuk menanggung kos pembedahan.

“Mahu mengharapkan pertolongan keluarga pula, mereka juga bukan orang senang dan hanya boleh membantu sekadar termampu sahaja. Ayah saya juga hanya bekerja kampung,” katanya.

Sehubungan itu, mana-mana pihak yang  bersimpati dan mahu menghulurkan bantuan boleh menghubungi Wan Norshafieka di talian 010-5797168 atau menyalurkan sumbangke akaun miliknya iaitu 120301000015289 bagi akaun Lembaga Tabung Haji atau 2006521000043166 (Agro Bank).