Saturday, September 29, 2012

Hidup sendirian di dangau daif

Hidup sendirian di dangau daif
Di dangau yang daif inilah tempat Ibrahim menumpang berteduh sejak dua tahun lalu
TUMPAT – Seorang warga emas, Ibrahim @ Salleh Mamat, 62, menghabiskan sisa hidupnya bersendirian di sebuah dangau daif apabila dia tiada tempat  tinggal selepas bercerai dengan  isterinya dua tahun lalu.

Dangau itu hanyalah sebuah pondok  menunggu durian gugur milik abangnya, tetapi ia bagaikan syurga bagi Ibrahim sekurang-kurangnya ada juga tempat dia menumpang berteduh.

Lebih menyentuh hati, dinding dangau itu tidak bertutup sepenuh-nya memaksa Ibrahim menutupnya dengan plastik, bumbung pula bocor sana sini dan lantainya juga reput.

Ibrahim berkata, dia mengambil keputusan untuk tinggal di pondok usang di dalam kebun durian milik abangnya, Abdul Rahman, 65, kerana tidak mahu menyusahkan keluarga abangnya.

“Semasa bersama bekas isteri, saya tinggal di Tanah Merah dan selepas saya bercerai, saya balik di kampung halaman dan tinggal bersama abang.

“Saya tak nak menyusahkan abang, itu sebabnya saya meminta izin untuk tinggal di pondok usang ini,” katanya ketika ditemui di Kampung Bendang Kerian dekat sini, semalam.

Menurut Ibrahim, walau pun dia hidup bersendirian, itu tidak bermakna anak–anak mengabaikannya kerana dia mempunyai lapan anak hasil perkahwinannya sebanyak tiga kali.

“Anak-anak pun bukan orang senang untuk membantu saya, sekadar datang menziarah dan menghulurkan makanan.

“Untuk makan minum saya hari-hari, saya ada wang untuk berbelanja kerana menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) setiap bulan.

“Kadang kala saya keluar bekerja sebagai prebet sapu kerana saya ada sebuah kereta,” katanya yang turut menderita penyakit asma dan jantung.

Ibrahim menaruh harapan yang tinggi sekiranya ada pihak membantunya merealisasikan impian untuk memiliki rumah kerana dia mempunyai tanah sendiri.

Dengan kudratnya, dia tidak mampu untuk membina rumah sendiri kerana masalah kesihatannya itu sering mengganggunya untuk bekerja.

No comments:

Post a Comment