Monday, September 24, 2012

Suspek kes ragut ditahan sebelum menaiki pesawat



Jalaluddin Abdul Rahman (kiri) menyerahkan 1Malaysia Privilege Card kepada Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Azham Othman di Kota Bharu, Kelantan, semalam.
KOTA BHARU 23 Sept. - Polis menahan seorang remaja lelaki yang dipercayai terlibat dalam dua kes ragut melibatkan seorang guru dan doktor kelmarin, semasa suspek cuba melarikan diri dengan menaiki penerbangan di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra di sini pagi ini.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, pihaknya percaya suspek berusia 19 tahun itu terlibat dalam kedua-dua kes ragut tersebut dengan kedua-dua mangsa mengalami kecederaan, berdasarkan modus operandinya.
"Kita telah menahan remaja yang berusia 19 tahun pukul 11.30 pagi ini ketika dia cuba melarikan diri dengan pesawat ke satu destinasi selepas mendapat maklumat hasil daripada siasatan yang kita jalankan.
"Pihak polis percaya remaja terbabit merupakan suspek utama ke atas dua kes ragut iaitu di Pasir Tumboh dan Kubang Kerian kelmarin," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini hari ini.
Sebelum sidang akhbar tersebut, beliau turut menyampaikan hadiah kecemerlangan kepada 152 anak pegawai serta anggota polis dan kad diskaun1Malaysia Privilege Card.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kejadian seorang guru diragut dan dilanggar sebelum digilis di perut oleh suspek ketika keluar dari sebuah bank di Pasir Tumboh pukul 8 pagi kelmarin. Sebelum itu, seorang doktor turut diragut di Kubang Kerian.
Pada 30 Ogos lalu, seorang wanita cedera parah di tangan kiri akibat ditetak ketika cuba mempertahankan beg tangannya daripada diragut dalam kejadian di Jalan Sultanah Zainab di sini.
Sementara itu, Jalaluddin berkata, berdasarkan statistik, kes ragut di negeri tersebut tidak membimbangkan tetapi menyifatkannya sebagai 'menyakitkan hati'.
"Dalam bulan ini hanya ada lima kes ragut di seluruh Kelantan tetapi tiga daripadanya amat 'menyakitkan hati' kerana penjenayah bukan sahaja meragut tetapi turut mencederakan mangsa tanpa belas kasihan.
"Daripada kes tersebut satu daripadanya akan dituduh di mahkamah dalam masa terdekat dan untuk dua kes lagi kita telah menahan suspeknya hari ini," katanya.
Beliau yang tidak menolak kemungkinan kes itu berpunca pengaruh dadah berkata, pihaknya telah merancang strategi khusus untuk menangani masalah tersebut.
"Hari ini saya telah mengadakan mesyuarat bersama dengan semua ketua jabatan dan ketua polis daerah bagi merancang strategi khusus untuk membanteras jenayah berprofil tinggi seperti kes ragut dan samun di negeri ini,'' katanya.
"Salah satu daripadanya kita akan meneruskan Ops Sayang dengan menempatkan lebih 100 anggota polis wanita di seluruh bandar ini bagi memberikan kesedaran mengenai kes-kes ragut dan samun," katanya.

No comments:

Post a Comment