Wednesday, October 24, 2012

Mengaku salah ceroboh hutan simpan

KULIM - Dua lelaki mengaku salah di Mahkamah Majistret Kulim kelmarin atas dua kesalahan menceroboh hutan simpan kekal di kawasan Hutan Simpan Gunung Inas, tahun lalu.
Majistret Mohd Fitri Saharudin menjatuhkan hukuman denda RM3,000 untuk setiap pertuduhan dan jika gagal boleh dipenjara tiga bulan.

Ishak Che Ni, 44, dan Mohd Nakhazirul Hazimi Nayan, 29, ditahan pasukan rondaan Pejabat Hutan Renjer Kulim setelah mendengar bunyi gergaji berantai dari arah hutan simpan berkenaan kira-kira jam 12 tengah hari, 24 Oktober 2011.

Berdasarkan fakta kes, semasa pemeriksaan oleh pasukan rondaan itu mendapati banyak pokok di dalam kawasan hutan ditebang serta kawasan menjadi lapang setelah dibersihkan oleh dua lelaki berkenaan.
Antara barang yang ditemui di tempat kejadian adalah satu unit gergaji berantai yang diguna suspek untuk menjalankan kerja menebang pokok.

Mereka didakwa atas dua pertuduhan iaitu mengikut Seksyen 47 (1) kerana menceroboh hutan simpan kekal dan Seksyen 81 (1) (e) Akta Perhutanan Negara 1984, membersih atau membajak mana-mana tanah untuk apa-apa tanaman dalam hutan simpan kekal.
Jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

Tertuduh pertama, Ishak membayar denda RM6,000 manakala tertuduh kedua Mohd Nakhazirul gagal membayar denda dan dibawa ke Penjara Tapah, Perak untuk menjalani hukuman selama enam bulan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia, Nur Idayu Amir manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

No comments:

Post a Comment