Thursday, November 8, 2012

Tengku Fakhry kalah kes saman




KUALA LUMPUR - Adinda Sultan Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Petra (gambar) yang memfail saman berjumlah RM150 juta terhadap polis kerana mendakwa ditahan secara salah, gagal dalam tuntutannya semalam.
Hakim Mahkamah Tinggi, Datin Zabariah Mohd. Yusof menolak permohonan Tengku Fakhry dengan kos RM40,000 di dalam kamar.
Peguam Kanan Persekutuan, Azizan Md. Arshad memberitahu pemberita bahawa Hakim Zabariah memutuskan demikian dengan alasan bahawa Tengku Fakhry tidak pernah dihalang untuk keluar ataupun memasuki Istana Mahkota, Kubang Kerian di Kelantan pada Julai 2009.
Katanya, Hakim Zabariah juga menyatakan bahawa penahanan yang wujud hanyalah terhadap kereta Bentley yang dilaksanakan atas titah Pemangku Sultan ketika itu iaitu Tengku Muhammad Faris Petra.
Sepanjang prosiding yang bermula 8 Oktober lalu, seramai lima saksi plaintif dan lima saksi defendan, memberi keterangan.
Tengku Fakhry memfail saman itu pada 9 Disember tahun lepas dengan menamakan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar; Ketua Pengawal Peribadi Sultan Kelantan, Asisten Superintendan Noorazman Ismail, Ketua Polis Kelantan, Datuk Abdul Rahim Hanafi dan Polis Diraja Malaysia sebagai defendan.

No comments:

Post a Comment