Thursday, November 29, 2012

Yingluck terselamat daripada undi tidak percaya




YINGLUCK


BANGKOK - Seperti dijangka, Perdana Menteri Thailand, Yingluck Shinawatra terselamat daripada usul undi tidak percaya di Parlimen semalam.
Disebabkan kerajaan memiliki hampir dua pertiga majoriti daripada 493 perwakilan di Parlimen, beliau memperoleh 308 undi tidak menyokong berbanding 159 undi menyokong, manakala empat anggota Parlimen, berkecuali.
Ini merupakan kali pertama Yingluck berdepan usul tidak percaya sejak mengambil alih pentadbiran kerajaan, Ogos tahun lepas.
Dalam usul tidak percaya, pemimpin pembangkang, Abishit Vejjajiva mendakwa Yingluck tidak cekap, gagal mentadbir negara dan tidak mengotakan janji beliau kepada Parlimen dan rakyat.
Abhisit, bekas perdana menteri sebelum Yingluck juga menuduh Yingluck mengamalkan diskriminasi dan rasuah, tidak menghormati kedaulatan undang-undang dan mengelak tanggungjawab kepada Parlimen.
Semasa perbahasan usul itu, Yingluck diasak dengan dakwaaan penyelewengan dalam skim bantuan padi, belanjawan tindakan banjir dan gagal menguatkuasakan undang-undang cegah rasuah.
Pihak pembangkang juga mengambil kesempatan menyebarkan dakwaan mengenai kelemahan perdana menteri yang dikatakan amat bergantung kepada maklum balas bertulis yang disediakan pembantunya, semasa menjawab soalan.
Selain Yingluck, Timbalan Perdana Menteri, Chalerm Yubamrung, Menteri Pertahanan, Sukumpol Suwanatat dan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Chatt Kuldilok turut berdepan undi tidak percaya.
Chalerm terselamat daripada usul itu dengan meraih 287 undi menentang dan 157 undi menyokong, Sukampol (284 menentang, 160 menyokong) dan Chatt (284 menentang, 182 menyokong). - Bernama

No comments:

Post a Comment