Thursday, December 13, 2012

Pyongyang berjaya lancar roket jarak jauh

Pyongyang berjaya lancar roket jarak jauh:


Gambar fail bertarikh 5 April, 2009 merakamkan pelancaran peluru berpandu Korea Utara, Musudan-ri. Pyongyang berjaya melancarkan roket jarak jauh, semalam beberapa hari menjelang pilihan raya Presiden Korea Selatan dan mencetuskan kemarahan AS dan PBB. - AGENSI
SEOUL 12 Dis. - Korea Utara, hari ini berjaya melancarkan roket jarak jauh, sekali gus meningkatkan ancaman keselamatan di rantau ini dan membimbangkan China terhadap provokasi baharu itu serta kecaman global.
Menurut laporan tentera Korea Selatan dan Jepun, roket itu dilancarkan dari Stesen Pelancaran Satelit Sohae, Korea Utara pada kira-kira pukul 9.51 pagi (8.51 pagi waktu Malaysia).
Jepun yang menempatkan sistem pertahanan peluru berpandu untuk memusnahkan roket itu jika memasuki wilayahnya berkata, roket itu melintasi Okinawa kira-kira 12 minit selepas dilancarkan.
Perpisahan pertama dan kedua jatuh di laut di bahagian barat dan barat daya Semenanjung Korea, sementra peringkat ketiga jatuh 300 kilometer ke timur Filipina.
Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengadakan mesyuarat tergemparbagi membincangkan tindakan Pyongyang itu.
Korea Utara bertegas pelancaran itu bukanlah ujian peluru berpandu yang ditegah oleh PBB, tetapi untuk menempatkan satelit saintifik di orbit dan menyatakan telah mencapai kesemua objektifnya.
'Satelit itu telah memasuki orbit seperti yang dirancang," lapor Agensi Berita Pusat Korea (KCNA).
Baek Seung-Joo dari Institut Analisis Pertahanan Korea Selatan berkata, pelancaran itu membuktikan keazaman Pyongyang untuk menyempurnakan sistem senjata nuklear di bawah pemimpin baharu Kim Jong-Un.
Kejayaan kali ini turut membawa kesan mendalam kepada keselamatan dan membuktikan kemajuan dan kemampuan Korea Utara membina peluru berpandu antara benua (ICBM) dengan program senjata nuklear.
"Menempatkan satelit di orbit bermakna negara itu mempunyai teknologi untuk memastikan peluru berpandu mengenai sasarannya dan ini menyebabkan Korea Utara kini bukan setakat memberi ancaman kepada negara jiran, tetapi kepada Amerika Syarikat (AS)," kata Profesor Masao Okonogi dari Universiti Keio di Jepun.
China yang merupakan sekutu kuat dan rakan dagang terbesar Korea Utara turut mengeluarkan kenyataan keras menggesa Pyongyang mematuhi resolusi PBB. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20121213/lu_02/Pyongyang-berjaya-lancar-roket-jarak-jauh#ixzz2Ew5TUVF7
© Utusan Melayu (M) Bhd 

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment