Hospital Dar al-Shifa
Hospital Dar al-Shifa antara bangunan yang musnah dalam serangan udara di Aleppo pada bulan lalu. Foto: AP
KAHERAH - Wakil Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Liga Arab, Lakhdar Brahimi, kelmarin mengumumkan pelan damai baru Syria yang didakwa akan disokong negara antarabangsa termasuk Rusia, sekutu negara bergolak itu.

Brahimi membuat pengumuman itu selepas Rusia dilaporkan menghantar kapal perang ketiga mereka ke pangkalan tentera laut di Pelabuhan Tartus di Syria.

Semasa sidang media di Kaherah, Brahimi memberitahu beliau telah merangka pelan gencatan senjata yang mungkin boleh diguna pakai untuk meredakan ketegangan di Syria berikutan keadaan di negara itu kini berada pada tahap membimbangkan.

"Saya sudah berbincang dengan Rusia dan Syria berhubung pelan tersebut. Saya yakin cadangan itu akan menerima reaksi positif masyarakat antarabangsa.

Ia juga mengandungi cadangan penyelesaian politik berdasarkan Konvensyen Geneva," jelasnya lagi.

Sehingga kini, seramai 45,000 orang telah terkorban akibat konflik berterusan di Syria sejak lebih 20 bulan lalu. - AFP