Monday, January 28, 2013

Sarkozy: Tembok Jericho perlu diroboh



Davos: Bekas Presiden Perancis, Nicolas Sarkozy (gambar) berkata semalam, tembok Jericho yang mengelilingi Israel perlu dirobohkan untuk membuka jalan kepada pembentukan sebuah negara Palestin.

“Israel bertindak mengepung dirinya dengan tembok Jericho. Adalah perlu supaya tembok itu diruntuhkan bagi menyelamatkannya,” kata Sarkozy seperti yang dilapor oleh akhbar Israel, Maariv.


Bekas pemimpin Perancis itu berkata demikian pada majlis pungutan derma untuk United Israel Appeal, acara sampingan yang diadakan sempena Forum Ekonomi Dunia di Davos, Switzerland.

Beliau yang menjadi presiden dari 2007 hingga 2012 berkata, kegagalan Israel untuk meletakkan asas bagi pembentukan sebuah negara Palestin merdeka akan membawa kepada bencana.


Beliau dilapor menerima RM606,000 untuk menghadiri majlis berkenaan.


Kenyataannya mencetuskan kemarahan golongan kaya pro-Israel yang turut hadir dan mereka mengancam menarik balik sumbangan masing-masing sebagai membantah ucapan Sarkozy. Bekas presiden itu meninggalkan dewan sebaik saja selesai berucap.

Disember lalu, pegawai Israel mengumumkan rancangan membina kira-kira 6,500 rumah untuk pendatang Yahudi di tanah Palestin. Rancangan itu memusnahkan harapan untuk melihat kejayaan rundingan bagi penyelesaian isu Palestin. - Agensi

No comments:

Post a Comment