Monday, January 21, 2013

Lelaki Britain kongsi kesedihan



NORTH LONDON 20 Jan. - Seorang bapa, Ben Brooks-Dutton (gambar), yang pernah melalui pengalaman sedih kehilangan isteri dalam satu kemalangan tragis, bertekad untuk bangkit dan membantu individu yang senasib dengannya melalui satu laman blog yang dihasilkannya sejak dua minggu lalu.
Blog itu dilayari lebih 100,000 pengguna internet dan pada minggu lalu, dia menjadi tetamu rancangan BBC Breakfast, sambil meminta lebih ramai kaunselor lelaki tampil membantu mereka yang melalui pengalaman sepertinya.
"Saya mahu lelaki lain tahu bahawa tidak salah menangis, berbicara mengenai perasaan yang dialami dan menolong satu sama lain.
"Ia juga merupakan cara saya memberi penghormatan kepada mendiang isteri saya, Desreen dan menjadi bapa yang baik kepada Jackson, yang akan membesar dan tahu bahawa menunjukkan emosi itu tidak memalukan," katanya.
Ketika menceritakan insiden tragis menimpa isterinya dua bulan lalu, Brooks-Dutton berkata, dia dan isterinya sedang bersiar-siar sambil menolak bayi mereka dalam kereta sorong di sebuah kawasan letak kereta, selepas menikmati makan malam di sebuah restoran, apabila sebuah kenderaan dipandu laju meluru ke arah mereka.
Brooks-Dutton sempat menolak kereta sorong anak mereka, Jackson, ke kiri, tetapi gagal menyelamatkan isterinya.
"Saya sering tewas dengan perasaan. Saya rasa sangat bersalah kerana tidak dapat menyelamatkan Desree," katanya.
Sejurus kejadian itu, ambulans tiba di tempat kejadian dan cuba menyelamatkan Desreen dengan memberi bantuan pernafasan, bagaimanapun Desreen disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Selama tiga hari selepas kematian isterinya, Brooks-Dutton terpaksa mengambil Valium, sejenis ubat khas bagi merawat masalah ketakutan melampau, walaupun saudara-mara dan rakan-rakan memberi semangat kepadanya.
Namun, selepas memikirkan masa depan Jackson yang bergantung kepadanya, Brooks-Dutton bangkit melawan kesedihan dan akhirnya mula menulis blog untuk berkongsi tentang perasaan yang dialaminya.- AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130121/lu_03/Lelaki-Britain-kongsi-kesedihan#ixzz2IZTGiTjl
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment