Tragedi Bukit Setiawangsa: Banglo 2 MP mungkin diroboh
Kerja-kerja pembersihan sisa runtuhan giat dijalankan di Puncak Setiawangsa di sini hari ini. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR - Banglo milik Ahli Parlimen Rompin, Datuk Seri Dr Jamaluddin Jarjis yang terletak di kawasan tanah runtuh Puncak Setiawangsa, Bukit Setiawangsa di sini, akan diroboh 80 peratus.

Ketua Pegawai Operasi Institut Kerja Raya Malaysia (Ikram), Mohd Taufik Haron berkata, belum ada sebarang keputusan untuk merobohkan kediaman Jamaluddin, namun pihak pemaju sedang menyediakan kertas cadangan ke arah itu.

"Apa yang saya boleh katakan, kemungkinan 80 peratus kediaman beliau perlu dirobohkan kerana telah sedikit terjejas berikutan terdapat pergerakan tanah yang berlaku, tambahan pula kita perlu buat zon penampan," katanya hari ini.

Langkah itu juga bagi memberi laluan kepada pembinaan zon penampan untuk mengukuhkan cerun bukit.

Katanya, kerja-kerja meroboh sebuah banglo mewah yang terjejas teruk akibat tragedi tanah runtuh di Puncak Setiawangsa berikutan dikhuatiri menjadi beban pada cerun sudah selesai sebanyak 80 peratus.

Bagaimanapun, kerja-kerja itu masih dilakukan dengan berhati-hati bimbang berlaku runtuhan yang tidak dijangkakan walaupun tiada pergerakan tanah direkodkan sejak malam hingga pagi tadi.

Taufik berkata, proses pembersihan banglo itu bermula semula kira-kira jam 9 pagi tadi.

"Walaupun tinggal 20 peratus lagi, kita tidak boleh jangka bila ia akan mengambil masa yang lama mahupun singkat  kerana ia masih bergantung kepada keadaan dan beberapa faktor berkaitan termasuk pergerakan tanah," katanya.

Kerja-kerja merobohkan sebuah banglo mewah yang terjejas berikutan tragedi tanah runtuh yang berlaku pada malam 29 Disember lalu telah bermula sejak tiga hari lalu.

Semalam pihak pemaju membentangkan tempoh kerja-kerja penyelesaian untuk menstabilkan cerun yang dijangka siap pada 31 Januari ini.

Proses meroboh banglo itu dijadualkan mengambil masa tujuh hari.