Pembangkang Syria batal boikot
Keadaan bangunan kediaman di Aleppo yang hancur dibedil peluru berpandu tentera Syria. (Kecil) Khatib. Foto:EPA
DAMSYIK - Gabungan Pembangkang Syria (SNC), semalam, membatalkan keputusan memboikot persidangan di Rome dengan alasan memberi laluan kepada usaha meningkatkan kewangan dan sokongan politik kepada kumpulan mereka.

Jurucakap SNC, Walid al-Bunni berkata, tindakan itu dilakukan selepas pemimpin SNC, Moaz al-Khatib mengadakan perbincangan menerusi panggilan telefon bersama Setiausaha Amerika Syarikat, John Kerry.

"Sewaktu bercakap dengan Khatib, Kerry berkata beliau mahu SNC mengetahui bahawa persidangan yang bakal berlaku di Rome bukan perkara yang mudah dan ia adalah untuk mendapat keputusan bagi langkah perdamaian," kata al-Bunni.

Sementara itu, dalam laman sosial Facebook milik Khatib, SNC mengumumkan bakal mengadakan pertemuan bersama Kerry dan Menteri Luar Britain, William Hague yang sebelum ini telah berjanji membekalkan bantuan khas.

Kata al-Bunni, keputusan itu dibuat berdasarkan jaminan yang diberikan kepada al-Khatib oleh barisan diplomat Barat bahawa persidangan berkenaan berbeza daripada yang sebelum ini.

Dalam perkembangan lain, lebih 140 orang termasuk 70 kanak-kanak dilaporkan terbunuh sepanjang minggu lalu, empat peluru berpandu milik tentera Syria membedil kawasan kejiranan dekat utara Aleppo.

Setakat ini, bandar Aleppo adalah kawasan paling teruk diserang tentera Presiden Bashar al-Assad sejak tercetusnya konflik berdarah dua tahun lalu. - Al-Jazeera