PBB pindah kakitangan
Bantuan makanan kepada penduduk Syria dijamin tidak akan terjejas walaupun bilangan kakitangan PBB dikurangkan.
NEW YORK - Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), kelmarin memutuskan untuk memindahkan secara sementara  sebahagian daripada kakitangan mereka dari Syria atas sebab keselamatan.

Dipetik AFP, jurucakap PBB di New York, Martin Nesirky berkata, terdapat 100 kakitangan antarabangsa dan 800 warga tempatan ditempatkan di ibu negara yang ditugaskan untuk memberi bantuan makanan kepada penduduk.

"Sebahagian daripada kakitangan antarabangsa tersebut akan dipindahkan ke Beirut dan pejabat utama Wakil PBB di Kaherah.

Kumpulan yang kekal berada di ibu negara juga dinasihatkan bekerja dari rumah dan tidak keluar menghantar bantuan sehingga arahan baru dikeluarkan pihak atasan," katanya lagi.

Difahamkan, langkah itu terpaksa diambil selepas kawasan berhampiran hotel penginapan mereka di Damsyik terus menjadi medan pertempuran selama dua hari berturut-turut sejak Ahad lalu.