Saturday, March 30, 2013

Pyongyang perhebat persediaan

Pyongyang perhebat persediaan
Pelajar Korea Utara bersemangat ketika menyertai perhimpunan menyokong keputusan pemimpin untuk sedia menyerang musuh. - Foto AP Seoul/Washington: Korea Utara mengarahkan unit peluru berpandu supaya berada dalam keadaan berjaga-jaga untuk menyerang markas tentera Amerika Syarikat di Korea Selatan dan Pasifik.

Ia selepas Amerika mengarahkan dua pengebom nuklearnya melintasi ruang udara Semenanjung Korea.
Pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un, menandatangani arahan itu pada tengah malam dalam pertemuan dengan jeneral kanan.


Beliau memutuskan bahawa ‘masanya sudah tiba untuk bertarung dengan penjajah Amerika selepas melihat apa yang berlaku,’ lapor agensi berita KCNA.
Korea Utara dan Amerika hanya boleh menyelesaikan perbezaan pendirian mereka secara fizikal, kata agensi itu lagi.

Pyongyang memiliki peluru berpandu jarak dekat era Soviet, Scud yang boleh mengenai Korea Selatan tetapi peluru berpandu jarak jauhnya, Nodong dan Musudan belum diuji meskipun boleh menyerang markas askar Amerika di Pasifik.

Beribu-ribu askar dan orang awam Korea Utara mengadakan perhimpunan besar-besaran di Pyongyang semalam bagi menunjukkan sokongan kepada keputusan pemimpin.
Perhimpunan di Dataran Kim Il-Sung itu disertai askar, veteran tentera, pekerja dan pelajar, kesemuanya memakai seragam tentera. Jong-Un tidak hadir.

Televisyen rasmi melaporkan, perhimpunan itu diadakan bagi menyokong keputusan pemimpin tertinggi Tentera Rakyat Korea (KPA) iaitu Jong-Un.

China gesa semua bertenang

Sekutu terdekat Korea Utara, China mengulangi gesaannya supaya semua pihak bertenang.

“Kami harap semua pihak akan bekerjasama mengubah keadaan yang tegang ini,” kata jurucakap Kementerian Luar, Hong Lei kepada wartawan.

Menteri Luar Russia, Sergei Lavrov pula mengkritik langkah Amerika mengarahkan pesawat pengebomnya lalu di ruang udara Korea.
REUTERS

No comments:

Post a Comment