Friday, April 19, 2013

Obama kecam anggota Senat



Obama diiringi bekas anggota Kongres, Gabrielle Giffords (kiri), Naib Presiden AS, Joe Biden (kanan) dan ahli keluarga mangsa tembakan di Sekolah Rendah Sandy Hook, ketika berucap tentang kawalan senjata api di Rose Garden, White House, Washington DC, kelmarin. - AFP
WASHINGTON 18 April - Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama marah dan kecewa dengan tindakan anggota Senat yang menolak untuk memperluaskan pemeriksaan ke atas latar belakang pembelian senjata api, sehingga rang undang-undang tersebut ditolak oleh Dewan Senat.
Sambil mengecam anggota-anggota Senat, Obama berkata, undian itu menunjukkan keadaan politik sebenar sambil mendakwa anggota politik bimbangkan kerjaya politik mereka musnah akibat kuasa pelobi senjata.
Dengan muka yang muram ekoran tekanan daripada keluarga kanak-kanak yang terbunuh dalam insiden tembakan di sebuah sekolah rendah di Connecticut pada tahun lalu yang menyaksikan berpuluh-puluh orang terbunuh dan bekas ahli Kongres wanita Gabby Giffords yang cedera akibat serangan bersenjata, beliau menyuarakan kemarahan berhubung penolakan itu.
"Ini adalah hari yang amat memalukan bagi Washington, tetapi usaha kami masih belum berakhir. Apa yang saya mahu jelaskan kepada rakyat AS, selagi kita tidak berputus asa, kita masih boleh membawa perubahan bermakna yang boleh mengurangkan keganasan senjata," katanya.
Dengan menggunakan bahasa yang jarang digunakan, beliau turut mengecam pelobi senjata dan mendakwa mereka 'sepenuhnya menipu terhadap rang undang-undang itu', selain menyatakan penolakan itu akan mewujudkan pejabat pendaftaran senjata 'Big Brother'.
Beliau berkata, Senat telah menolak kemahuan rakyat AS ekoran tinjauan menunjukkan 90 peratus daripada rakyat negara ini mahu pemeriksaan latar belakang pembelian senjata diketatkan.
Dewan Senat Amerika Syarikat (AS), semalam menolak langkah untuk memperluaskan pemeriksaan latar belakang pembelian senjata, sekali gus menjadi tamparan hebat kepada usaha Obama untuk memperketatkan undang-undang senjata api.
Sebanyak 54 daripada 100 anggota Senat menyokong pindaan untuk memperketatkan kawalan senjata api, tetapi gagal memperolehi 60 undi yang diperlukan untuk memenuhi syarat Senat, sebelum sesuatu undang-undang itu boleh dipinda. - dpa


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130419/lu_03/Obama-kecam-anggota-Senat#ixzz2Qrc5EZcz
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment