Tuesday, May 28, 2013

Anak anggota tentera hadapi risiko gangguan mental



28 Mei 2013
WASHINGTON- Menurut laporan terbaru Akademi Pediatrik Amerika Syarikat (AS), anak-anak anggota tentera menghadapi risiko mendapat masalah emosi, sosial dan tingkah laku kerana kerap ditinggalkan ibu bapa mereka yang bertugas.

Menurut jurnal yang baru diterbitkan semalam, laporan klinikal ini bertujuan memberi kesedaran di kalangan pakar kanak-kanak berhubung keperluan kesihatan mental khusus kepada anak-anak tentera.

Laporan yang ditulis Dr Ben S. Siegal dan Dr Beth Ellen Davis yang bertugas sebagai Ahli Jawatankuasa Psikososial Kanak-kanak dan Kesihatan Keluarga ini menunjukkan, kira-kira 60 peratus tentera AS mempunyai keluarga dan kira-kira 2.3 juta anggota tentera telah dikerahkan dalam perang di Afghanistan dan Iraq sejak sedekad lalu.

“Dalam tempoh 10 tahun, lebih 2 juta anak tentera menghadapi tekanan emosi kerana terpaksa brpisah dengan orang yang mereka sayang,” kata Davis dalam satu kenyataan.

Tambahnya lagi, kebanyakan kanak-kanak terpaksa menyesuaikan diri  dan mengalami rasa bimbang serta takut semasa ketiadaan bapa mereka.

Kajian turut membuktikan satu daripada empat kanak-kanak anggota tentera itu mengalami gejala kemurungan, masalah tidur dan kira-kira satu daripada  tiga orang mengalami perasaan kebimbangan yang berlebihan.

Kesan kesihatan mental ini akan merangkumi semua peringkat umur terutama kepada kanak-kanak dan remaja yang berumur di antara lima sehingga 17 tahun.

“Mereka akan menunjukkan perubahan emosi dan tingkah laku berbanding kanak-kanak lain,” tambah Davis.

Anggota tentera hanya dibenarkan melawat anak-anak mereka dalam tempoh 18 bulan dan perkara ini menambahkan lagi tekanan kepada anak-anak yang ditinggalkan dan juga kepada penjaga kanak-kanak sehingga memberi kesan kepada kesihatan mental.

No comments:

Post a Comment