6 tahun tak tidur malam
Aisyah menunjukkan kaki kanan ibunya yang tidak dapat diluruskan di rumahnya di Kampung Gong Duek semalam.
BESUT - Satu keluarga di sini merayu simpati mana-mana pakar perubatan tradisional dan moden membantu ibu mereka yang menghadapi masalah tidak tidur sepanjang malam sejak enam tahun lalu.

Aisyah Ab Rahman, 65, berkata, ibunya Aminah Ab Kadir, 90, langsung tidak dapat tidur pada waktu malam hingga ke siang hari dan tambah menyedihkan, sepanjang malam dia asyik menangis dan menjerit.

Menurutnya, pada waktu siang pula Aminah hanya terlelap untuk tempoh beberapa minit sahaja, itupun dengan syarat ada orang menemaninya.

“Sebelum ini saya bersama tiga beradik terpaksa bergilir-gilir selama dua minggu seorang menjaganya di rumah masing-masing, memandangkan keadaannya yang sedemikian.

“Namun sekarang kami telah sepakat bahawa setiap orang hanya akan menjaganya untuk tempoh seminggu seorang kerana kami semua tidak mampu lagi berjaga setiap malam sehingga siang untuk jangka masa dua minggu secara berterusan,” katanya yang kini tinggal empat beradik selepas dua beradik lain meninggal dunia.

Aisyah berkata, tempoh itu terpaksa dipendekkan kerana adik beradiknya yang berusia antara 52 hingga 70 tahun turut menghidapi masalah kesihatan, dan keadaan kesihatan semakin teruk apabila terpaksa berjaga setiap malam.

Katanya, setiap orang yang menjaga Aminah tidak dapat melelapkan mata khususnya bermula jam 12 malam hingga siang, kerana dia akan menangis dan merengek menyebabkan perlu sentiasa ada orang di sisinya.

Aisyah berkata, abangnya, Abdullah, 66, yang tinggal di Felda Kerteh, Kemaman meninggal dunia ketika memandu kereta pada Februari lalu selepas menjaga ibunya itu akibat tekanan darah tinggi.

“Mungkin ajalnya sudah ditentukan Tuhan namun masalah kesihatan arwah abang ketika itu semakin terjejas apabila terpaksa berjaga sepanjang malam. Oleh sebab itulah saya merayu sangat supaya sesiapa tampil untuk membantu mengatasi masalah ibu saya,” katanya.

Menurutnya, dia adik beradik akur dengan dugaan Tuhan dan sama sekali tidak mengabaikan ibunya, namun sekiranya masalah tidak dapat tidur ibunya mampu diatasi, mereka anak beranak mampu menarik nafas lega.

Mereka sekeluarga juga telah berusaha merawat Aminah dengan pelbagai kaedah tradisional dan moden, namun setakat ini tidak mampu menyelesaikan masalahnya.
Keadaan Aminah yang terlantar sepenuhnya sejak beberapa tahun lalu semakin teruk apabila kaki kanannya di bahagian lutut turut membengkok.

“Saya harap sangat kalau ada mana-mana pihak yang ikhlas untuk membantu merawat ibu saya kerana kami tidak mampu lagi merawatnya,”  katanya.

Sementara itu tiga daripada empat adik beradik itu menetap di Gong Duek manakala seorang lagi tinggal di Kampung Saujana, Permaisuri, Setiu.

Sesiapa yang ingin membantu merawat Aminah boleh menghubungi anak bongsunya Halipah menerusi talian 013 9736293.