Monday, June 10, 2013

AS, China setuju Pyongyang henti program nuklear


Obama (kiri) dan Xi Jiping (kanan) bersama delegasi masing-masing semasa sidang AS-China yang berlangsung di Sunnylands, Rancho Mirage, California, semalam bagi membincangkan isu-isu penting termasuk isu program nuklear Korea Utara. - AP
CALIFORNIA 9 Jun - Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama dan Presiden baharu China, Xi Jiping, semalam bersetuju bahawa Korea Utara perlu menghentikan program nuklearnya.
Persetujuan itu dicapai ketika kedua-dua pemimpin itu bertemu sempena sidang AS-China selama dua hari, yang berakhir semalam, yang turut menyaksikan Obama secara langsung menyuarakan kebimbangan terhadap serangan siber rakyat China.
Obama dan Jiping mengadakan rundingan panjang lebar, termasuk perbincangan intensif tentang bagaimana mengawal Korea Utara.
"Mereka bersetuju bahawa Pyongyang perlu menghentikan program nuklearnya kerana tidak ada negara yang menerima Korea Utara sebagai sebuah kuasa nuklear dan mahu meningkatkan usaha serta dialog bagi mencapai matlamat itu," kata Penasihat Keselamatan Kebangsaan White House, Tom Donilon kepada wartawan.
Kaunselor Negara China, Yang Jiechi pula memberitahu satu sidang media berasingan, Jiping telah memaklumkan kepada Obama bahawa China dan AS mempunyai 'matlamat dan pendirian sama' berhubung isu nuklear Pyongyang.
China yang merupakan sekutu kuat Korea Utara kini semakin bimbang dengan ancaman Pyongynag yang mahu berperang dengan Korea Selatan.
Donilon pula berkata, Obama secara langsung turut menyuarakan kepada Jiping tentang tuduhan AS bahawa serangan siber rakyat China disasarkan untuk mencuri rahsia industri AS.
Jiechi ketika bercakap kepada wartawan pula berkata, Beijing mahu mengadakan kerjasama berbanding pergeseran dengan AS berhubung keselamatan siber. - REUTERS


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130610/lu_05/AS-China-setuju-Pyongyang-henti-program-nuklear#ixzz2VlTXAikO
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment