Friday, June 28, 2013

Mohon maaf bukan kerana takut - Susilo


Seorang pekerja mencurahkan air untuk memadamkan api yang membakar ladang nenasnya di Tanah Putih, Rokan Hilir, wilayah Riau, Indonesia, kelmarin. - REUTERS
JAKARTA 27 Jun - Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono hari ini menjelaskan bahawa tindakannya yang memohon maaf kepada kerajaan Malaysia dan Singapura ekoran masalah jerebu, tidak bermaksud beliau takut dengan kedua-dua negara itu.
Menurut Susilo, beliau telah memantau perbincangan di dalam media sosial selepas tindakannya memohon maaf yang ada disalahtafsirkan sebagai takut kepada kedua-dua negara itu
Kata beliau, ada dalam kalangan rakyat tempatan yang menyangka tindakannya itu menunjukkan kerajaan lemah.
"Tidak ada negara berdaulat yang perlu takut dengan negara lain," tegasnya dalam satu sidang akhbar di Lapangan Terbang Halim Perdanakusuma di Jakarta Timur, hari ini.
Susilo turut mengingatkan rakyat Indonesia bahawa masalah jerebu mempunyai konteks yang jelas dan meminta rakyat tidak melibatkan isu lain.
"Saya tegaskan kepada anda (rakyat Indonesia) bahawa kedaulatan negara, integriti wilayah dan beberapa kepentingan nasional tidak boleh dikompromi," ujar beliau.
Dengan memberi contoh, Susilo berkata, terdapat perbincangan di media sosial yang cuba menghubungkan masalah jerebu dengan isu Ambalat.
Katanya, kerajaan dalam apa cara pun akan tetap berusaha mempertahankan wilayah itu.
Menurut Susilo, kerajaan Indonesia juga akan terus berusaha gigih melalui kaedah diplomatik untuk memastikan pekerja negara ini di Malaysia dilindungi dan menikmati hak, selain bebas daripada keganasan. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130628/lu_07/Mohon-maaf-bukan-kerana-takut---Susilo#ixzz2XSfJ4NYO
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment