Saturday, June 15, 2013

Wanita Islam pakai burka, niqab terima layanan buruk

PARIS 14 Jun - Wanita-wanita beragama Islam di negara ini kini menerima layanan buruk daripada rakyat Perancis selepas undang-undang melarang pemakaian burka dan niqab dikuatkuasakan pada 2011.
Sejak pelaksanaan undang-undang tersebut, terdapat beberapa kes jenayah berlaku melibatkan serangan ke atas wanita-wanita yang memakai pakaian tersebut.
Dalam kes pertama semalam, seorang wanita mengandung berumur 21 tahun diserang dan dicederakan dua lelaki 'berkepala botak' yang bertindak menarik purdah dan rambutnya.
"Wanita itu dikejarkan ke wad kecemasan Hospital Argenteuil untuk rawatan bagi kecederaan yang dialaminya," menurut polis.
Jelas polis, kedua-dua lelaki itu turut menghina mangsa menggunakan kata-kata berunsur perkauman dan menyatakan pemakaian purdah tidak dibenarkan di Perancis.
Dalam kejadian berbeza pada 20 Mei lalu, seorang gadis bernama Rabia, 17, diserang di Argenteuil kerana memakai purdah.
Dua lelaki bertindak memukul Rabia kira-kira pukul 9 malam sambil menjerit 'Arab Pengotor' dan 'Penganut Islam Pengotor'.
Rabia berkata, seorang penyerang menarik purdah serta menolaknya sehingga jatuh dan kemudian bertindak memukul sambil menghinanya.
Jelasnya, penyerang hanya berhenti memukulnya apabila ada individu lain melalui kawasan tersebut.
Di bawah undang-undang tersebut, wanita yang didapati bersalah memakai burka dan niqab di tempat awam boleh dikenakan denda sehingga 130 euro (RM539.50). - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130615/lu_07/Wanita-Islam-pakai-burka-niqab-terima-layanan-buruk#ixzz2WERVwaAk
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment