Wednesday, July 3, 2013

NSF mahu demokrasi kekal


DUA penyokong Morsi berlatih menggunakan belantan di luar Masjid Rabia El-Adawiya dekat Istana Presiden di Kaherah semalam.- AP


KAHERAH - Pakatan pembangkang utama Mesir semalam menegaskan ia tidak menyokong rampasan kuasa oleh tentera bagi menamatkan pemerintahan Presiden Mohammed Morsi.
Barisan Penyelamat Kebangsaan (NSF) memberitahu, kata dua tentera Mesir yang memberi masa 48 jam untuk Morsi berundur bukan bermakna pihak tentera akan mencampuri urusan politik negara itu.
"Tidak, kami tidak menyokong rampasan kuasa tentera. Sejak ditubuhkan pada November 2012, NSF komited pada pemerintahan awam, moden dan demokratik.
"Kami percaya deklarasi tentera kelmarin bukan bermaksud mereka ingin terlibat dalam politik atau memainkan peranan politik di negara ini," tambah kenyataan sama.
Menurut NSF, tuntutannya supaya Morsi meletak jawatan tidak melanggar prinsip demokrasi sebaliknya ia satu cubaan untuk menghidupkan semula revolusi rakyat yang menumbangkan diktator Hosni Mubarak pada 2011.
Dalam pada itu, kedudukan Morsi semakin terpinggir apabila Mahkamah Rayuan memerintahkan Presiden Mesir itu melantik semula Peguam Negara Mahmoud Abdel-Meguid yang dipecat olehnya pada tahun lalu.
Selain itu, beberapa menteri kabinet termasuk daripada porfolio pelancongan, alam sekitar, komunikasi dan hal ehwal perundangan Mesir bertindak meletak jawatan kelmarin.
Perkembangan itu berlaku sehari selepas protes besar-besaran di seluruh negara bagi mendesak Morsi berundur.
Presiden tersebut didakwa cuba mendominasi kuasa dan meluaskan pengaruh pergerakan Islam Ikhwanul Muslimin dalam pentadbiran Mesir.
Tunjuk perasaan besar-besaran itu yang bertukar ganas telah meragut sekurang-kurangnya 16 nyawa kelmarin. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0703&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz2Xvf74z2p 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment