Saturday, July 6, 2013

Penjualan arak mungkin diharamkan di Indonesia

JAKARTA - Penjualan dan pengedaran arak di beberapa bahagian di Indonesia kemungkinan diharamkan selepas sebuah kumpulan radikal Islam memenangi kes di Mahkamah Agung, kata seorang pegawai semalam.
Walaupun Indonesia merupakan negara yang mempunyai penganut Islam paling ramai di dunia, penjualan minuman keras kepada sebilangan kecil yang meminumnya dan pelancong masih dibenarkan hingga kini.
Sejumlah pihak berkuasa tempatan yang mempunyai pengaruh radikal Islam pernah memperkenalkan undang-undang kecil melarang urus niaga minuman keras.
Namun, peraturan itu tidak pernah dikuatkuasakan ekoran dekri presiden pada tahun 1997 yang melarang pemerintah tempatan mengambil tindakan sendiri.
Jurucakap Mahkamah Agung, Ridwan Mansyur berkata, Barisan Pertahanan Islam (FPI) kini berjaya mengenepikan dekri itu dalam semakan kehakiman di Mahkamah Agung.
"Mahkamah Agung telah menerima semakan mahkamah yang difailkan oleh FPI kerana dekri presiden gagal membawa keamanan dan ketenteraman awam kepada masyarakat Indonesia," kata Ridwan kepada agensi berita AFP.
Mahkamah mengeluarkan perintah tersebut pada pertengahan Jun lalu, namun pengumuman tersebut hanya dibuat secara terbuka sejak beberapa hari lepas.
FPI yang terkenal kerana membuat operasi serbuan di sejumlah bar dan kelab malam menyambut baik kemenangan itu sekali gus membenarkan pihak berkuasa tempatan melaksanakan undang-undang berkenaan.
"Semua penganut Islam Indonesia sangat gembira. Pemerintah telah menyelamatkan generasi daripada kesan negatif alkohol," kata pemimpin FPI cawangan Jakarta, Salim Alatas.
Sementara itu, seorang pegawai kanan Kementerian Dalam Negeri Indonesia, Reydonnizar Moenek berkata, terdapat sejumlah pihak berkuasa tempatan telah melaksanakan undang-undang itu.
Akhbar Jakarta Post melaporkan, terdapat 22 pihak berkuasa tempatan termasuk di beberapa kawasan sekitar Jakarta telah mengeluarkan larangan itu. - AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0706&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz2YF0tS7Za 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment