Thursday, July 11, 2013

Piagam baharu Mesir dikecam


Penyokong bekas Presiden Mesir yang digulingkan, Mohammed Mursi, menyediakan 51 buah keranda kosong bagi memperingati kematian penunjuk perasaan yang maut dalam satu demonstrasi di Nasr City, Kaherah, kelmarin. - AGENSI
KAHERAH 10 Julai - Penentang dan penyokong bekas Presiden Mesir yang digulingkan, Mohammed Mursi, mengecam piagam baharu yang memberikan Presiden sementara kuasa yang lebih besar ketika rundingan bagi pembentukan Kabinet mula dijalankan hari ini.
Perpecahan antara gabungan parti yang melobi penyingkiran Mursi dan tunjuk perasaan pro-Mursi menyebabkan negara ini kembali tegang dan berdepan keadaan tidak menentu berkaitan peralihan kuasa kepada demokrasi dengan pilihan raya dijadual diadakan pada tahun depan.
Sementara itu di semenanjung Sinai, dua orang maut awal hari ini apabila kumpulan bersenjata menyerang beberapa kedudukan polis dan tentera dengan mortar serta roket.
Keganasan terbaharu itu tercetus kurang sehari selepas Presiden sementara Mesir, Adly Mansour berikirar mengadakan pilihan raya pada awal tahun depan dan melantik pakar ekonomi, Hazem al-Beblawi sebagai Perdana Menteri dan bekas ketua agensi nuklear, Mohamed ElBaradei sebagai Naib Presiden.
Dalam pada itu, Beblawi hari ini mula mengadakan mesyuarat untuk membentuk Kabinet dengan beliau dijangka menawarkan jawatan Kabinet kepada pergerakan Ikhwanul Muslimin, lapor agensi berita MENA.
Ikhwanul Muslimin bagaimanapun awal-awal lagi telah menolak piagam sementara Mesir itu kerana menyatakan dekri tersebut digubal oleh 'kumpulan yang menggulingkan kerajaan'.
Barisan Penyelamat Kebangsaan (NSF), perikatan utama yang menuntut peletakan jawatan Mursi sebelum beliau digulingkan oleh tentera, turut mengecam dekri tersebut dan mahukan pindaan dibuat.
Seorang pegawai daripada NSF memberitahu AFP, dekri itu memberikan 'kuasa perundangan, pentadbiran dan kehakiman' baharu kepada Presiden sementara.
"Sekarang ini anda kelihatan hipokrit. Ia sama seperti satu rejim diktator menggulingkan rejim diktator lain," katanya yang enggan dikenali kerana parti itu sedang menyiapkan kenyataan untuk dikeluarkan. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130711/lu_04/Piagam-baharu-Mesir-dikecam#ixzz2YmnlyFTI
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment