Sunday, August 11, 2013

Dikurung 9 bulan

Port Dickson: Dikurung sembilan bulan membuatkan seorang mangsa culik rangkaian kumpulan al-Qaeda di Selatan Filipina nekad melarikan diri dengan memotong rantai besi di kakinya hanya menggunakan sudu.
Tung Wee Jie, 26, berkata, sejak dikurung, dia berusaha mencari jalan untuk lari memandangkan setiap hari terpaksa mendengar penculik mahu membunuhnya dengan pelbagai cara, termasuk menghumban ke laut, menembak dan menggunakan parang.

Menceritakan detik hitam itu, Wee Jie berkata, pada 14 November tahun lalu, dia bersama sepupunya Tung Wee Wei, 34, bekas rakan perniagaan bapa Wee Wei dan seorang pekerja didatangi sekumpulan lelaki seramai lima hingga tujuh orang di ladang kelapa sawit Kampung Manakayang bersebelahan FELDA Sahabat 15, Lahad Datu, Sabah.
Katanya, kumpulan ber senjatakan parang itu memaksa mereka berjalan kaki sejauh dua kilometer hingga ke pantai dan menaiki bot yang menunggu di situ sebelum meninggalkan rakan perniagaan bapa Wee Wei dan seorang pekerja di pantai.

“Sepanjang dalam bot, saya dan sepupu diarah baring dan ditutup dengan sehelai tikar. Beberapa jam kemudian, kami menaiki bot lain dan tiba di sebuah pulau kecil.

“Kami tinggal lima hari di pulau itu sebelum dibawa ke Pulau Sulu dan tinggal dalam sebuah pondok kecil dibuat daripada buluh, malah kaki kami dirantai dengan besi,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumah bapa saudaranya di Bukit Pelandok, Lukut, di sini, semalam.
Sebelum ini, akhbar melaporkan, seorang rakyat Malaysia meninggal dunia manakala sepupunya berjaya menyelamatkan diri selepas dijadikan tebusan selama sembilan bulan oleh rangkaian kumpulan al-Qaeda di Selatan Filipina.

Pengarah Jabatan Pasukan Petugas Khas (Operasi/Anti Pengganas) Datuk Seri Mohamad Fuzi Harun berkata, Wei ditemui penduduk merayau di sebuah perkampungan di Bandar Indanan sebelum diserahkan kepada pihak berkuasa Sulu.
Katanya, Wei Jie ketika ditemui pihak berkuasa memaklumkan, sepupunya meninggal dunia selepas jatuh sakit pada 8 April lalu.

No comments:

Post a Comment