Thursday, August 8, 2013

Pembangkang Thailand anjur protes

BANGKOK, 7 Ogos - Kira-kira 2,000 penyokong parti pembangkang daripada Parti Demokrat, mengadakan tunjuk perasaan dekat bangunan Parlimen, di sini hari ini, bagi membantah undang-undang kontroversi yang memberi pengampunan kepada keganasan politik di negara ini.
Tunjuk perasaan itu turut disertai bekas Perdana Menteri Abhisit Vejjajiva dan beberapa anggota Parlimen.
Beratus-ratus polis antirusuhan dilengkapi penghadang dan cota, ditempatkan di laluan ke Parlimen serta memasang penghadang konkrit dan dawai bagi menghalang penunjuk perasaan memasuki kawasan berkenaan.
Seorang wartawan AFP melaporkan, tiga buah trak meriam air dan sejumlah besar van polis turut ditempatkan di sekitar kawasan berkenaan.
Kerajaan pimpinan Perdana Menteri Yingluck Shinawatra berhadapan protes sejak beberapa hari lalu, sekali gus meningkatkan kebimbangan keganasan politik terbaharu ketika anggota Parlimen akan membahaskan rang undang-undang kontroversi itu lewat tengah hari ini. - AFP/BERNAMA
Penunjuk perasan daripada Parti Demokrat membantah undang-undang berkenaan yang memberi pengampunan kepada individu yang terlibat dalam keganasan politik sejak rampasan kuasa yang menggulingkan bekas Perdana Menteri, Thaksin Sinawatra, kira-kira tujuh tahun lalu.
Undang-undang itu juga akan membatalkan dakwaan terhadap penunjuk perasaan yang terlibat dalam insiden rampasan kuasa pada September 2006 sehingga Mei 2012.
Kumpulan antikerajaan bimbang undang-undang tersebut akan dimanipulasi oleh parti pemerintah, Parti Peau Thai untuk mengenepikan dakwaan terhadap Thaksin.
Sementara itu, Yingluck semalam menolak khabar angin tentang plot oleh penunjuk perasaan anti-pengampunan untuk menculik beliau.
Katanya, beliau tidak percaya penunjuk perasaan merancang untuk menangkap beliau dan menegaskan beliau akan tetap berulang-alik seperti biasa dari rumahnya ke pejabat di Rumah Kerajaan.
Beliau berkata demikian ketika bercakap kepada pemberita di sini semalam. - AFP/BERNAMA


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130808/lu_03/Pembangkang-Thailand-anjur-protes#ixzz2bSzsJ1Ji
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment