Wednesday, August 28, 2013

Penganjur cuba sogok MUI


Jakarta: Majlis Ulama Indonesia (MUI) mengakui mereka dihubungi penganjur Miss World 2013 untuk mendapatkan sokongan penganjuran pertandingan Ratu Dunia tidak lama lagi.

Ketua Perhubungan Antarabangsa MUI Muhyiddin Junaidi berkata, syarikat MNC Grup menghubungi mereka dan membuat beberapa tawaran.


Antaranya, kata Muhyiddin, menawarkan langganan percuma siaran stesen satelit Indovision ke seluruh pejabat MUI di Indonesia, termasuk di peringkat daerah.

“Sekolah agama dan pondok yang dikendalikan MUI juga akan menerima siaran percuma itu,” katanya.


MNC Grup juga berjanji melantik semua pemimpin kanan MUI sebagai panel pemantau syariah di syarikat berkenaan.


Bagi penganjuran Miss World 2013 bulan depan pula, kata Muhyiddin, MNC Grup menawarkan pemimpin kanan MUI menjadi penasihat di belakang tabir. “Bagaimanapun semua tawaran itu kami tolak dengan tegas,” katanya. Muhyiddin berkata, MNC Grup berhujah penganjuran pertandingan itu memberi kesan positif kepada Indonesia di peringkat antarabangsa. Sementara itu mengulas pembabitan Timbalan Ketua MUI Jakarta, Syarif Rahmat dalam iklan Miss World 2013, Muhyidin berkata, ia dilakukan atas sifat peribadi.

“MUI kecewa walaupun pesanan yang disiarkan dalam iklan itu bukan menyokong pertandingan ratu cantik,” katanya. - Agensi

No comments:

Post a Comment