Thursday, August 1, 2013

Tafsiran Surah Yassin ayat 12 dan wa-aathaarahum

Tafsiran Surah Yassin ayat 12 dan wa-aathaarahum

Huraian dari Dr Fatma Elzahra Muhamad Ramadan

Usia yang berkat, pendeknya bermanfaat, panjangnya melimpah kebaktian. Berbuat baiklah selagi hayat ada... 

“Sesungguhnya Aku akan hidupkan orang yang mati ini. Apa yang mereka sudah buat sudah masuk dalam buku. Bekas-bekas mereka pun sudah masuk dalam buku. Segala sesuatu ( ya Muhammad) sudah masuk dalam buku.”

Para ulama berijmak mengatakan ayat ini paling mustahak dalam Yassin dan kerana ayat inilah maka Yassin dibaca ketika orang meninggal dunia.
Ayat ini mustahak, dan kerana itulah Baginda Rasulullah SAW bersabda;
‘Anak Adam ini mati dan semuanya terputus melainkan tiga perkara; sadaqah jariah, ilmu manfaat dan doa anak soleh”.
Itu semua termasuk di bawah ‘aathaarahum’ (bekas-bekas mereka). Dan kerana itulah Rasulullah SAW bersabda; “Barangsiapa buat sesuatu kebajikan atau sunnah yang baik dalam Islam, dia akan mendapat pahalanya dan pahala orang yang ikut membawanya.”

Justeru itu kita kena awasi. Kita buat sesuatu yang baik, katakanlah kita ada duit yang banyak lalu kita bina masjid, ada orang kaya yang lain dengar dan dia pun ikut sama bina masjid kerana tengok kita buat. Maka kita akan dapat pahala membina masjid dan juga pahala orang lain yang turut sama mengikuti kita kerana melihat/mendengar kita membina masjid. Atas kerana kita membuat sesuatu perkara yang baik dan orang lain juga ikut sama.

Atau contoh lain; Misalnya kita duduk dalam satu majlis, dan kita dengar ada orang yang sangat-sangat memerlukan pertolongan dari segi kewangan. Kita mula dahulu, kemudian orang lain ikut sama. Maka kita dapat pahala yang kita telah buat, ditambah pula dengan pahala orang lain yang ikut sama melakukannya selepas melihat kita buat.
Rasulullah SAW bersabda; “Barangsiapa buat sesuatu kejahatan dalam Islam dia mendapat dosanya dan dosa orang yang berbuat serupa dengannya”.

Contoh; Qabil dan Habil (anak Adam). Qabil telah membunuh Habil dan telah menjadi kes bunuh yang pertama di dunia. Semenjak dari itu sampai hari ini, tiap-tiap kes bunuh dia dapat dosa. Berapa banyak dosa yang dia dapat, pasal dia orang pertama yang ajar membunuh. Allahu Akbar, Kita awasi ajaran kita, jangan kita buat ajaran yang tidak baik, orang ikut.

Dan “bekas-bekas mereka”. Suatu hari Rasulullah SAW melihat Banu Salamah sedang meletakkan barang-barang mereka ke atas unta. Lalu Rasulullah SAW bertanya ‘Hendak ke mana ?’. ‘Hendak berpindah dekat dengan masjid kerana hari-hari jalan jauh’ kata Banu Salamah. Maka Rasulullah SAW berkata ‘Jangan, lagi jauh lagi banyak pahala. Allah Ta’ala berfirman di dalam surah Yassin ; wa aathaarahum (bekas-bekas mereka). Lagi jauh masjid lagi banyak pahala. Lagi jauh berjalan lagi banyak pahala.

Begitulah huraian yang dikemukakan oleh Dr Fatma. Oleh yang demikian marilah kita bersama-sama saling memelihara tingkah laku serta bicara kita supaya tidak tersasar dari jalan-Nya. Dan juga saling-ingat mengingati antara satu sama lain kerana kita hanya hamba yang tidak berupaya serta iman yang masih pasang surut. Berbuatlah baik dan tinggallah ‘bekas-bekas’ yang baik untuk dimanfaatkan bersama.
Posted by Khalijah Binti Ismail at Monday, May 23, 2011

No comments:

Post a Comment