Thursday, September 26, 2013

327 maut akibat gempa bumi



Beberapa penduduk yang terselamat, berjalan melalui serpihan bangunan yang runtuh akibat gempa bumi kuat yang melanda Awaran, wilayah Baluchistan di Pakistan, semalam. - Reuters
KHUZDAR, Pakistan 25 Sept. - Seramai 327 orang dilaporkan terbunuh dan beribu-ribu buah rumah yang diperbuat daripada lumpur musnah apabila gempa bumi kuat berukuran 7.7 skala Richter melanda wilayah Baluchistan, di barat laut negara ini, semalam.
Jurucakap kerajaan Baluchistan, Jan Muhammad Buledi berkata, sebanyak 285 kematian dicatatkan di daerah Awaran, sementara 42 lagi di daerah Kech.
Jelasnya, angka kematian dalam kejadian pukul 4.29 waktu tempatan semalam itu, dijangka terus meningkat.
"Sebanyak enam daerah terjejas akibat gempa berkenaan iaitu Awaran, Kech, Gwadar, Panjgur, Chaghi dan Khuzdar, sekali gus menyebabkan lebih 300,000 penduduk terjejas." katanya.
Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Wilayah Baluchistan, Abdul Latif Kakar pula berkata, lokasi bencana yang terpencil menyukarkan pasukan penyelamat menjalankan operasi mencari dan menyelamat serta menyukarkan usaha membawa mangsa yang cedera mendapatkan rawatan di hospital.
"Kekurangan kemudahan perubatan juga menjejaskan misi menyelamat dan ruang hospital tempatan juga tidak mencukupi menampung jumlah pesakit.
"Kami sedang cuba menghantar mangsa yang cedera teruk ke Karachi menggunakan helikopter dan mangsa yang lain ke daerah-daerah berdekatan," katanya.
Dalam pada itu pihak tentera mengerahkan seramai 100 kakitangan perubatan dan 1,000 askar ke kawasan bencana untuk membantu operasi menyelamat dan menyediakan pusat rawatan di satu daripada kawasan yang terjejas teruk.
Seorang pegawai kanan kerajaan, Abdul Rasheed Baluch berkata, pasukan penyelamat bekerja sepanjang malam untuk mengeluarkan mayat dan mangsa yang terselamat daripada runtuhan.
"Kira-kira 90 peratus rumah yang diperbuat daripada lumpur di daerah Awaran musnah sepenuhnya dalam kejadian gempa bumi semalam," katanya. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130926/lu_03/327-maut-akibat-gempa-bumi#ixzz2fzvIBYUM
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment