Sunday, September 29, 2013

Pemberontak MNLF tewas

Pemberontak MNLF tewasSETIAUSAHA Dalam Negeri dan Kerajaan Tempatan, Mar Roxas (tengah) dan Setiausaha Pertahanan Filipina Voltaire Gazmin (kanan) meninjau kawasan pertempuran antara tentera kerajaan dan pemberontak MNLF di Zamboanga semalam. - Foto AFP

Kempen tentera kerajaan Filipina ke atas pemisah berakhir

MANILA: Kempen tentera kerajaan Filipina ke atas pemberontak yang menentang rundingan damai, berakhir semalam, dengan hampir 500 militan terbunuh atau ditahan, manakala 200 tebusan dibebaskan di selatan negara itu.

“Ancaman ke atas Zamboanga sudah berakhir. Tiada lagi kubu musuh yang tinggal,” kata jurucakap tentera Leftenen Kolonel Ramon Zagala.
Beliau berkata, polis akan mengambil alih kawalan keselamatan daripada tentera untuk ‘membersihkan’ pusat perdagangan wilayah yang dikuasai Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF) dan memburu pemimpin gerila Nur Misuari yang masih bebas.


Tentera berkata, Nur Misuari yang mengasaskan MNLF pada awal 1970an, menghantar beratus-ratus pengikutnya diketuai Leftenen Habier Malik, ke Zamboanga tiga minggu lalu dalam usaha melengahkan rundingan sebuah lagi kumpulan pemisah Islam yang menjadi pesaingnya.

Sejumlah 183 pemberontak terbunuh, manakala 292 lagi ditahan sepanjang pertempuran yang berlarutan sejak tiga minggu lalu. Bagaimanapun Misuari dan Malik gagal ditemui. Kerajaan percaya Misuari bersembunyi di sebuah kawasan lain di wilayah selatan.

Zagala berkata pihak berkuasa sedang memeriksa identiti beberapa lelaki bersenjata yang terbunuh untuk mengenal pasti jika Malik adalah salah seorang daripada mereka.

Jabatan kehakiman juga mengumumkan rancangan untuk memfailkan pertuduhan ke atas pemberontak yang ditahan termasuk Misuari. Seramai 23 askar dan polis selain 12 orang awam terbunuh dalam pertempuran itu.
Militan menahan sejumlah tebusan ketika mereka menawan beberapa daerah di pesisir pantai Zamboanga yang mempunyai sejuta penduduk. Kerajaan menghantar 4,500 tentera untuk menentang mereka.

Lebih 10,000 rumah turut dibakar dalam pertempuran sengit di jalanan yang memaksa lebih 100,000 orang atau satu persepuluh daripada jumlah penduduk Zamboanga melarikan diri.

Pegawai kerajaan Filipina berkata, pihaknya percaya bahawa semua 195 tebusan yang ditahan kumpulan pemisah sama ada berjaya melarikan diri, dibebaskan atau diselamatkan pasukan bersenjata. - AFP

No comments:

Post a Comment