Thursday, October 10, 2013

31 letupan gegarkan selatan Thai


Beberapa anggota unit skuad pemusnah bom, memeriksa lokasi letupan di sebuah mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di wilayah Narathiwat, selatan Thailand, semalam. - AFP
BANGKOK 9 Okt. - Tujuh maut, sementara 22 lagi cedera dalam berpuluh-puluh insiden pengeboman di wilayah selatan negara ini malam tadi dan hari ini.
Menurut Setiausaha Agung Majlis Keselamatan Negara, Leftenan Jeneral Paradorn Pattanathabutra, sebanyak 31 butir bom meletup di wilayah Yala, Pattani, Narathiwat dan Songkhla selain beberapa kebakaran yang sengaja dilakukan semalam dan awal hari ini.
Beliau berkata, kebanyakan bom tersebut ditempatkan berhampiran mesin pengeluaran wang automatik (ATM) dipercayai bertujuan menjejaskan ekonomi setempat, sementara bom yang mensasarkan pasukan peronda tentera, ditanam di tepi jalan.
Jelas Paradorn, mangsa yang maut terdiri daripada lima tentera dan dua orang awam, manakala mereka yang cedera adalah 10 tentera dan 12 orang awam.
Dalam laporan berlainan, polis di Yala menyatakan, sebanyak enam butir bom ditempatkan berhampiran ATM di daerah Muang, Yaha (4) Bannang Sata (1), namun letupan tidak mengakibatkan kecederaan.
Di Songkhla pula, tiga bom dilaporkan meletup di daerah Natawee, Saba Yoi dan Sakom, namun tidak ada laporan kecederaan dibuat.
Di daerah Sai Buri, Pattani, seorang guru Waena Munor, 55, mati ditembak kira-kira pukul 1.30 pagi waktu tempatan di sebuah kediaman guru.
Polis berkata, kumpulan lelaki bersenjata yang membunuhnya kemudian membakar tiga bangunan sekolah dan mencuri sebuah trak milik pihak berkuasa tempatan.
Satu letupan turut berlaku di tepi jalan di Sai Buri, mencederakan beberapa anggota tentera.
Di Narathiwat, letupan turut berlaku di empat buah ATM dan seorang renjer terbunuh apabila trak pikap dinaikinya diserang hendap di daerah Cho Airong, pagi ini.
Turut cedera dalam kejadian itu ialah empat renjer lain dengan seorang daripadanya parah. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20131010/lu_03/31-letupan-gegarkan-selatan-Thai#ixzz2hGirHrae
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment