Friday, October 25, 2013

AS belum bersedia henti serangan drone

AS belum bersedia henti serangan droneObama (kanan) melambai tangan selepas bermesyuarat dengan Nawaz Sharif di Rumah Putih, semalam. Membisu gesaan Pakistan tamat guna pesawat kawalan jauh 

Washington: Presiden Amerika Syarikat Barack Obama berjanji kelmarin untuk memberi perhatian terhadap kebimbangan Pakistan membabitkan tempoh selepas perang di Afghanistan, namun membisu terhadap gesaan Perdana Menteri Nawaz Sharif untuk menamatkan serangan pesawat kawalan jauh atau drone.

Obama mengalu-alukan kunjungan Sharif ke Rumah Putih selepas meluluskan bantuan bernilai AS$1.6 bilion (RM5.05 bilion), kebanyakannya untuk ketenteraan, yang disekat selepas ketegangan hubungan kedua-dua negara berhubung serbuan 2011 yang mengorbankan pemimpin al-Qaeda Osama bin Laden.
Obama berjanji memberi penjelasan penuh kepada Sharif dan bekerjasama menjadikan Afghanistan ‘stabil dan selamat, kedaulatannya dihormati’ Ketika tentera Amerika Syarikat bersiap sedia berundur dari Afghanistan tahun depan.


“Saya yakin dengan bekerja bersama, kami boleh mencapai sasaran lebih baik buat Afghanistan, namun turut membantu melindungi Pakistan dalam jangka panjang,” kata Obama kepada media di Pejabat Oval.


Curiga Pakistan

Ramai penduduk Afghanistan mencurigai Pakistan berikutan sokongan terhadap rejim Taliban pada masa lalu sebelum digulingkan dalam serangan diketuai Amerika selepas serangan 11 September 2011.
Dalam satu kenyataan bersama, Sharif dan Obama menggesa Taliban terbabit dalam rundingan perjanjian damai dengan kerajaan Afghanistan, satu inisiatif yang segera terhenti selepas langkah pertama Jun lalu.

Pada masa sama Sharif menggesa Amerika menamatkan kempen serangan hendap ke atas militan, yang mencetuskan kemarahan ramai penduduk Pakistan yang menganggapnya sebagai pelanggaran kedaulatan negara.

Sharif menggesa kerjasama antikeganasan lebih meluas dengan Washington namun berkata:

“Saya juga mengemukakan isu serangan pesawat kawalan jauh dalam pertemuan kami dan menggesa serangan seperti itu ditamatkan segera.”


Tak jawab soalan

Obama tidak menyebut serangan drone dan kedua-dua pemimpin tidak menjawab soalan.

Dalam kenyataan mereka, Obama dan Sharif menegaskan bahawa “perkongsian berkekalan kami adalah berasaskan prinsip menghormati kedaulatan dan integriti jajahan.”

Walaupun kenyataan terbuka itu, akhbar The Washington Post berkata ia memperoleh dokumen rahsia yang mengesahkan kecurigaan bahawa Pakistan meluluskan serangan Amerika dan kadang kala malah memilih sasaran. - AFP

No comments:

Post a Comment