Wednesday, October 2, 2013

Senarai hitam kontraktor bina Hospital Serdang


2013/10/02
 
Pelabuhan Klang: Kerajaan akan menyenarai hitam kontraktor yang bertanggungjawab membina Hospital Serdang jika siasatan mendapati pembinaannya tidak mematuhi kod reka bentuk kejuruteraan dan spesifikasi kerja yang baik.

Menteri Kerja Raya, Datuk Fadillah Yusof, berkata satu kumpulan pakar sudah ditubuhkan Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk menyiasat punca kejadian terbabit dan laporan mengenainya dijangka diperoleh pada hujung bulan ini.
Boleh ambil tindakan mahkamah

“JKR sudah memberi nasihat kepada Kementerian Kesihatan mengenai langkah yang perlu diambil. Kalau kesalahan di peringkat kontraktor, kita boleh ambil tindakan seperti senarai hitam dan tindakan mahkamah terhadap kontraktor yang bina hospital ini.

“Tetapi, kita juga akan tengok sama ada kalau kumpulan pakar atau pihak reka bentuk yang tidak betul atau pelaksanaan kontrak yang tidak betul. Semua perkara ini akan kita tengok selepas selesai siasatan forensik.

“Kalau ia babitkan kumpulan profesional, kita akan serah kepada pihak yang sepatutnya kerana arkitek, jurutera atau juru ukur bahan mempunyai badan tersendiri untuk uruskan hal seperti ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan pembukaan Seksyen 3 rangkaian Lebuhraya Klang Selatan (SKVE) menghubungkan persimpangan Teluk Panglima Garang ke persimpangan Pulau Indah di sini, semalam.

No comments:

Post a Comment