Friday, November 29, 2013

Singapura, Korea Selatan nafi terlibat kes intipan


Sebahagian penunjuk perasaan yang membantah tindakan intipan dilakukan Canberra dan Washington, melaungkan slogan anti-Australia di hadapan Kedutaan Australia di Jakarta, pada 21 November lalu. - AFP
JAKARTA 28 Nov. - Menteri Luar Indonesia, Marty Natalegawa menyatakan, Jakarta mengadakan perbincangan dengan Singapura dan Korea Selatan berhubung pendedahan baru-baru ini yang menyatakan kedua-dua negara itu membantu Amerika Syarikat (AS) dan Australia melakukan aktiviti pengintipan.
Perbalahan terbaharu antara Indonesia dan Australia berlaku selepas dokumen terbaharu didedahkan bekas kontraktor keselamatan AS, Edward Snowden bahawa kedua-dua negara tersebut turut bersubahat dalam pengintipan oleh lima negara, 'Five Eyes' melibatkan AS, Britain, Australia, Kanada dan New Zealand.
"Duta kami bertemu secara rasmi dengan wakil Kementerian Luar Singapura yang pada asasnya mengisytiharkan tuduhan tersebut tidak berasas dan berbentuk spekulatif,'' katanya.
Beliau berkata, kerajaan turut memanggil Duta Singapura ke Indonesia untuk mengadakan perbincangan berhubung perkara itu.
"Duta Singapura, Anil Kumar Nayar menyatakan beliau akan mendapatkan penjelasan kerajaan Singapura berhubung perkara itu,'' katanya.
Beliau menambah, Duta Korea Selatan di Jakarta, Kim Young-sun turut menafikan dakwaan berkenaan.
Menurut dokumen didedahkan Snowden, aktiviti pengintipan dibantu oleh syarikat komunikasi Singapura, Sing-Tel, menjadikan negara republik itu pihak ketiga utama dalam Five Eyes.
Sasaran pengintipan bukan sahaja melibatkan Indonesia tetapi Malaysia. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20131129/lu_04/Singapura-Korea-Selatan-nafi-terlibat-kes-intipan#ixzz2m6F58W4w
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment