Monday, December 16, 2013

Bapa saudara Kim jalani hukuman mati

Pyongyang: Korea Utara semalam berkata, Jang Song Thaek -bapa saudara pemimpin negara itu, Kim Jong-un sudah dihukum mati.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan berkait dengan pelaksanaan hukuman itu, pihak berkuasa Korea Utara menggelar bekas mentor pemimpin terbabit sebagai pengkhianat yang cuba merampas kuasa dan menggulingkan kerajaan. 
Pengumuman mengejutkan itu dibuat hanya beberapa hari selepas Jang - yang dianggap orang nombor dua di negara itu - disingkirkan daripada semua jawatan kerana pelbagai tuduhan, termasuk rasuah, penggunaan dadah, berjudi dan kaki perempuan.

Dalam pengumuman terperinci yang luar biasa, agensi berita kerajaan KCNA berkata, Jang cuba melakukan “jenayah tersembunyi untuk cuba menggulingkan kerajaan menerusi rancangan jahat dan keji dengan cita-cita untuk merampas kuasa tertinggi parti dan negara”.
Foto
JANG dibawa untuk menjalani perbicaraan di tribunal khas tentera di Pyongyang, Korea Utara kelmarin.

Kerajaan Korea Utara menggelarnya “pengkhianat kepada semua peringkat masyarakat di negara berkenaan” dan “lebih buruk daripada anjing”.

Jong-un menyelia pengusiran berprofil tinggi sejak mengambil alih kuasa selepas kematian bapanya, Kim Jong II dua tahun lalu. Namun, tiada seorang pun yang disingkirkan itu diumumkan kepada rakyat sebagaimana tindakan ke atas Jang yang sebelum ini dilihat membantu Jong-un menggabungkan kuasa.

Penganalisis berkata, Jong-un bertindak melulu tanpa belas ihsan untuk mengukuh dan menunjukkan kuasanya, tetapi terdapat kebimbangan di Seoul bahawa penyingkiran Jang dan pengikutnya akan menyebabkan ketidakstabilan atau salah percaturan atau serangan ke atas Korea Selatan.

Jang dilihat oleh kuasa asing sebagai penyokong utama pembaharuan ekonomi ala China. - Agensi

No comments:

Post a Comment