Tuesday, December 24, 2013

Bela pekerja Islam, Marks & Spencer diancam boikot


LONDON 23 Dis. - Orang ramai di sini mengugut untuk memboikot rangkaian Marks & Spencer (M&S) selepas pasar raya terkenal itu membenarkan pekerjanya yang beragama Islam untuk tidak 'melayan' pelanggan yang ingin membeli daging khinzir atau minuman beralkohol.
Keadaan tegang itu berlaku selepas pihak pengurusan pasar raya tersebut memberitahu pekerja-pekerjanya yang beragama Islam bahawa mereka boleh menolak permintaan mana-mana pelanggan yang ingin membeli barangan tersebut.
Selain itu, pekerja-pekerja tersebut diberitahu bahawa mereka boleh mendapatkan bantuan rakan sekerja lain yang bukan beragama Islam untuk melayan pelanggan yang ingin membeli barangan terbabit.
Keadaan itu mencetuskan rasa tidak puas hati dalam kalangan pelanggan setia M&S, menyaksikan akaun Facebook pasar raya itu dipenuhi dengan kritikan orang ramai.
Seorang pelanggan menceritakan bahawa dia ingin membeli sebotol champagne dan meminta seorang pekerja wanita beragama Islam untuk mengambilnya di rak.
Namun, pekerja wanita itu memohon maaf serta menolak untuk melayan permintaannya dan meminta dia menunggu sementara pekerja lain datang untuk melayannya.
Bagaimanapun, pasar raya itu menafikan arahan yang diberi kepada pekerjanya yang beragama Islam dan menyatakan bahawa ia tidak selaras dengan polisi asal syarikat terbabit.
Seorang lagi pelanggan yang dikenali sebagai Matt Syson berkata, keluarganya berkemungkinan tidak akan membuat pembelian di pasar raya itu jika 'sistem' tersebut masih dilaksanakan.
"Sistem itu hanya akan mencetuskan rasa benci dan jurang yang lebih besar dalam kalangan masyarakat," katanya. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20131224/lu_05/Bela-pekerja-Islam-Marks-Spencer-diancam-boikot#ixzz2oNcYAMcd
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment