Saturday, December 28, 2013

Detik kematian Saddam didedahkan


BAGHDAD 27 Dis. - Bekas Penasihat Keselamatan Kebangsaan, Mowaffak al-Rubaie yang menyaksikan hukuman gantung ke atas Saddam Hussein mendedahkan, bekas Presiden Iraq itu kelihatan tenang sehingga detik-detik terakhir kematian dan tidak sedikit pun menunjukkan kekesalan.
Menurut Mowaffak, berbeza dengan individu lain yang takut berdepan kematian, Saddam sebaliknya tidak merayu supaya hukumannya dibatalkan atau pun meminta pengampunan Tuhan.
"Saya menyambutnya di pintu masuk. Ketika itu dia memakai jaket dan baju T berwarna putih. Dia kelihatan tenang dan langsung tidak nampak gentar," katanya menceritakan detik-detik terakhir Saddam yang dihukum gantung tujuh tahun lalu.
Saddam yang memerintah Iraq selama lebih dua dekad, dihukum gantung selepas disabit kesalahan melakukan jenayah menentang kemanusiaan dalam pembunuhan 148 penduduk kampung di Dujail.
Mowaffak berkata, Saddam ketika itu digari dan memegang satu naskhah al-Quran.
"Saya membawanya ke sebuah kamar hakim di mana saya membacakan kesalahan yang dilakukannya. Namun dia membalas, 'Pergi mampus Amerika!', Pergi mampus Israel!', 'Hidup Palestin!' dan 'Matilah Majusi Parsi!'.
"Saya kemudian membawanya ke tempat hukuman. Dia memandang tali gantung dan pelantarnya dari atas ke bawah dan berkata, 'Ini memang untuk orang yang berani'," jelas Mowaffak.
Katanya, sebelum dihukum gantung, Saddam melaungkan 'Hidup Imam Mohammed Baqr al-Sadr!' dan sempat mengucapkan dua kalimah syahadah.
Mowaffak mendedahkan, kali pertama tuil diturunkan olehnya, pelantar di kaki Saddam tidak terbuka, dan pelantar hanya terbuka apabila seorang individu lain yang tidak dinamakan menurunkan tuil.
Katanya lagi, hukuman mati ke atas Saddam diputuskan dalam satu persidangan video di antara Perdana Menteri Iraq, Nouri al-Maliki dan Presiden Amerika Syarikat (AS) ketika itu iaitu George W. Bush.
"Apa yang perlu kita lakukan terhadap lelaki itu (Saddam)?," kata Bush.
"Kita gantung dia," jawab Maliki disambut isyarat tangan bagus oleh Bush. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20131228/lu_04/Detik-kematian-Saddam-didedahkan#ixzz2oj1R4McV
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment